My Add

Friday 17 February 2012

Fitnah Shahrizat: Zuraida, Rafizi diperintah fail pembelaan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli memfailkan pembelaan pada 9 Mac ini berhubung saman berjumlah RM100 juta yang difailkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. 

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian ketika kes itu didengar di hadapannya hari ini dan turut menetapkan 30 Mac untuk pengurusan kes.
Shahrizat diwakili peguam, K Sivapakiam manakala Zuraida dan Mohd Rafizi diwakili peguam, Razlan Hadri dan Ranjit Singh.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC). 

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan. 

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) atau syarikat-syarikat bersekutu. 

Ketua Wanita UMNO itu mendakwa kedua-dua defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.

Beliau berkata, Mohd Rafizi menulis dan menerbitkan pelbagai artikel dalam laman blognya www.rafiziramli.com yang membawa maksud bahawa beliau melakukan pelanggaran undang-undang dan moral yang serius dan terbabit dalam proses pemberian projek fidlot kepada NFC. 

Beliau juga mendakwa defendan kedua yang juga Ahli Parlimen Ampang (Zuraida) telah mengeluarkan pelbagai kenyataan fitnah melalui kenyataan akhbar yang dilaporkan dalam media arus perdana dan begitu juga dalam laman web rasmi PKR www.keadilandaily.com. 

Dengan penyebaran dan kenyataan meluas kedua-dua defendan, plaintif menegaskan beliau difitnah, mengalami kerugian teruk, disakiti dan rasa malu yang begitu serius kerana nama baiknya sebagai seorang individu, ahli politik, menteri dan Ketua Wanita Umno, terjejas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment