My Add

Friday 17 February 2012

Muhyiddin bertemu kepimpinan BN Parlimen Batu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Batu di Taman Billion Mewah di sini. 

Turut hadir pada mesyuarat lebih satu jam yang bermula jam 3 petang itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Shafei Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.

Wakil parti komponen BN yang hadir ialah Ketua Pemuda GERAKAN Nasional, Lim Si Pin dan Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk A Chandrakumaran.

Ketika ditemui selepas mesyuarat itu, Mohd Shafei berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, diberi penerangan mengenai perkembangan terkini mengenai gerak kerja BN di Parlimen Batu. 

Katanya, lawatan Muhiddin itu adalah sebahagian daripada program turun padang Timbalan Perdana Menteri ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Shafei berkata, Muhyiddin juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan barisan kepimpinan BN Parlimen Wangsa Maju dan Parlimen Setiawangsa dalam masa terdekat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment