My Add

Friday 24 February 2012

Geng Man Senoi tumpas, lima anggota ditahan

BUTTERWORTH, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Polis menumpaskan kegiatan kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Man Senoi yang aktif melakukan jenayah itu di sekitar daerah ini sejak empat bulan lalu, ekoran penahanan lima anggotanya di Jalan Raja Uda di sini semalam.

Kejayaan diperoleh selepas polis menahan suspek pertama berusia 21 tahun ketika cuba mencuri sebuah motosikal pukul 5 petang.

Penahanan tersebut membawa penangkapan empat lagi anggota kumpulan itu dalam serbuan di beberapa buah rumah di Kampung Padang Cina, Karangan, Kulim beberapa jam selepas itu.

Polis turut menemui semula enam buah motosikal yang dilaporkan hilang iaitu lima Honda EX5 dan sebuah Yamaha 125Z, dua rangka motosikal serta dua guni komponen peralatan motosikal yang disembunyikan di ladang kelapa sawit berdekatan kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri motosikal di daerah ini sebelum menjualnya dengan harga murah di sekitar daerah Kulim selepas menukar nombor pendaftaran asal kepada palsu.

“Setiap seorang daripada ahli kumpulan itu juga didapati menggunakan motosikal yang dicuri mereka selepas mengubah beberapa komponen dan nombor casis bagi mengelak dikesan.

“Siasatan mendapati mereka mencuri motosikal menggunakan sebatang besi yang diubah suai menjadi kunci pendua,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, kesemua yang ditahan direman empat hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 379 (A) (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Katanya, perintah tahanan reman itu diperolehi dari Majistret Intan Nurul Fariza Zainal Abidin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment