My Add

Saturday 25 February 2012

Peniaga permaidani didakwa cabul pelanggan

Oleh AZMAN MD. NOOR

BALING, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Kisah peniaga permaidani membuat onar terhadap pelanggannya bukanlah kisah baru dan seorang gadis di sini mengalami pengalaman itu sendiri apabila dipeluk dan cuba ditanggalkan bajunya oleh peniaga berasal dari Pakistan itu.

Akibat kejadian itu, gadis berusia 19 tahun tersebut mengalami trauma dan terpaksa mendapatkan rawatan tradisional bagi memulihkan semangatnya.

Kejadian berlaku Khamis lalu ketika mangsa tinggal seorang diri di rumahnya apabila peniaga tersebut datang untuk mengutip hutang dan meminta air minum.

“Ketika itu saya sedang mengemas rumah apabila peniaga itu masuk sambil matanya asyik memandang saya,” kata mangsa di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Bayu, Azami Che Hussin di pekan Baling di sini hari ini.

Menurutnya, selepas diberikan air, dia meminta peniaga itu keluar dengan segera tetapi peniaga tersebut enggan.

“Sehinggalah saya terasa telinga dihembus dan apabila berpusing, peniaga berkenaan terus memeluk saya,” ujarnya.

Menurutnya, dia cuba melawan tetapi kudrat lelaki itu terlalu kuat dan tidak mampu melakukan apa-apa selain menangis.

Anak keempat daripada tujuh beradik tersebut berkata, peniaga yang dikenali keluarganya itu cuba menyelak baju yang dipakainya sebelum dia tiba-tiba terdengar bunyi enjin motosikal di luar rumah dan barulah dapat melepaskan diri.

Katanya, peniaga yang akan datang ke rumahnya setiap bulan untuk mengutip hutang itu bagaimanapun sempat melarikan diri.

Ekoran itu keluarga mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Baling dan tindakan pantas polis berjaya mengumpulkan beberapa peniaga permaidani di daerah ini untuk kawad cam.

“Namun begitu lelaki tersebut tidak berada dalam sesi kawad cam tersebut,” kata mangsa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment