My Add

Wednesday 15 February 2012

Hutan Simpan Bukit Seputih Selatan terbakar

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Dua ratus penduduk Taman Supreme Cheras, di sini gempar apabila Hutan Simpan Bukit Seputih Selatan bersebelahan kawasan perumahan itu terbakar selama lima jam, mengakibatkan dua hektar kawasan hutan itu rentung. 

Seorang penduduk, Chiew Lian Keng, 48, yang juga Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, berkata beliau pulang ke rumah selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang jiran pada 10.40 pagi.

"Sejurus tiba, saya mendapati api sedang marak dan menjulang ke langit. Kebakaran itu (pada mulanya) cuba dikawal oleh sebuah jentera bomba.
"Saya hubungi pihak bomba untuk menambah anggotanya sebab saya risau kalau keadaan menjadi tidak terkawal. 

"Saya lega dan berterima kasih kepada bomba yang bertungkus-lumus selama beberapa jam memadamkan api dan menyelamatkan harta benda kami," katanya sambil menambah penduduk di situ khuatir api merebak ke rumah mereka. 

Chiew berkata, kejadian kebakaran pertama sejak beliau mula menetap di taman perumahan itu pada 2004. 

Penolong Kanan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohd Lazim, berkata bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 11.06 pagi. 
Katanya, lapan jentera serta 54 anggota bomba pelbagai pangkat menyertai usaha memadamkan kebakaran itu. 

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 4 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment