My Add

Wednesday 15 February 2012

Jamin siap dalam tiga tahun

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjanji akan menyiapkan projek Rumah Kos Rendah (RKR) Setapak Jaya Baru, yang tertangguh sejak sembilan tahun lalu, dalam tempoh tiga tahun.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail mengakui penangguhan projek itu berpunca daripada kelemahan di pihaknya.

"Kali ini DBKL akan memastikan penduduk mendapat tempat tinggal baru yang telah dijanjikan selama ini. Malah, lebih baik daripada kediaman sekarang.

"DBKL juga akan memastikan projek tersebut siap dalam tempoh tiga tahun dan jika pemaju gagal untuk menyiapkannya, mereka akan dikenakan tindakan yang tegas," jelasnya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memberi penjelasan mengenai isu tersebut kepada penduduk di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, DBKL telah beberapa kali membuat bancian terhadap 351 orang penduduk di perumahan tersebut dan hanya 168 orang daripadanya yang layak membeli rumah di Projek Rumah Kos Rendah Setapak Jaya Baru itu.

Bagaimanapun, projek yang dikendalikan oleh DBKL itu telah tertangguh selama sembilan tahun menyebabkan sebahagian daripada pembeli yang kini tinggal di Desa Rejang marah dan tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku.

Wakil penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Hussen Zulkarai berkata, tindakan Ahmad Fuad turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar mengapa projek itu tertangguh dan memberi jaminan bahawa ia akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun melegakan mereka.

"Kami tidak puas hati kerana banyak masalah di kawasan perumahan di sini antaranya tempat letak kenderaan yang sempit dan masalah penyelenggaraan .

"Oleh itu, kami sangat berharap kali ini DBKL dapat mengotakan janji mereka agar kami mendapat kediaman baru yang lebih selesa," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rahmah Keman, 60, memberitahu, dia berharap agar rumah di Setapak Jaya Baru itu nanti lebih selesa dan mempunyai keluasan yang lebih besar daripada rumah yang didiami sekarang.

Katanya, di perumahan sekarang, selain masalah paip bocor, penduduk juga berhadapan dengan masalah lif yang sering rosak sehingga menyukarkan urusan harian penduduk.

"Tetapi saya gembira apabila diberitahu bahawa rumah di Setapak Jaya Baru itu menyediakan satu tempat letak kenderaan bagi setiap rumah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment