My Add

Monday 13 February 2012

Jentera BN harus muhasabah baiki kelemahan

HULU SELANGOR, AHAD, 12 Februari, 2012: Jentera Barisan Nasional (BN) diseru bermuhasabah dalam usaha memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat pada gabungan parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasihat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin semalam agar parti mendekati golongan muda harus digarap serta dianalisis dengan fikiran yang terbuka.

"Pandangan Tun Daim merupakan satu peringatan ikhlas kerana sebagai seorang veteran politik, beliau memerhatikan apa yang sedang berlaku dalam parti.

"Namun, saya yakin apa yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam merakyatkan pemikiran jentera BN disambut baik semua pihak.

"Persepsi masyarakat berubah serta ditambah pula dengan beberapa transformasi politik di mana Najib selaku Pengerusi BN meminta beberapa kelonggaran yang berlaku pada jentera parti diperkukuhkan semula," katanya selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Gedangsa hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Daim yang menasihatkan BN agar mengambil inisiatif untuk mendekati golongan muda dalam menarik minat mereka kepada gabungan parti itu.

Bekas Bendahari UMNO selama 17 tahun itu berkata, parti komponen BN juga mesti meluangkan masa untuk mempengaruhi golongan muda menerusi program, dasar dan polisi yang dijalankan kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid, melalui transformasi yang dilakukan Najib itu, permasalahan yang berlaku dalam kalangan kepimpinan akar umbi dan pertengahan dapat diselesaikan sebelum pilihan raya.

Jelasnya, pendekatan proaktif yang dilakukan Najib adalah dengan menyelesaikan permasalahan parti lebih awal, bukannya selepas permasalahan tersebut berlaku.

Ini kerana, menurut beliau, sebelum ini gabungan parti itu terpaksa mengambil masa lama untuk memujuk calon serta penyokong yang kecewa kerana tidak terpilih untuk bertanding.

"Ini bermakna sekiranya kempen tersebut berjalan 10 hari, tujuh hari pertama adalah untuk memujuk. Saya fikir era itu sudah berlalu, langkah yang dilakukan Najib telah menjawab secara tidak langsung apa yang dilontarkan Tun Daim," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment