My Add

Monday 13 February 2012

Pas tetap menentang sambutan Hari Kekasih - Hadi Awang

KLANG, AHAD, 12 Februari, 2012: Pas tetap bertegas mahu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memantau serta bertindak sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempromosi sambutan Hari Kekasih meskipun pendirian itu mendapat tentangan daripada sekutunya, DAP.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti tidak akan menarik semula pendirian itu kerana teguran itu adalah merupakan satu tanggungjawab sebagai umat Islam dan ia tiada kena mengena dengan mereka yang menganut agama lain.

Beliau berkata, penganut agama lain berhak serta bebas untuk menyambut Hari Kekasih, tetapi sambutan berkenaan sama sekali tidak dibenarkan di dalam Islam.

"Kita tak tarik pendirian, itu hak dan tanggungjawab agama, hubungan bebas ini orang Islam boleh ke? (sudah tentu) tak boleh dan itulah pendirian Pas.

"Orang bukan Islam, itu hak dia (untuk meraikannya) kita (umat Islam) tak boleh ganggu," katanya pada majlis pelancaran Pendidik Kebangsaan di Kolej Integrasi dan Ilmuwan Islam di Kampung Delek Kanan, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali.

Abdul Hadi mengulas laporan media mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini.

Karpal berkata, pendirian Pas itu bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan yang diamalkan di sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

Pada 7 Februari lalu, sebuah portal berita pro-pembangkang memetik Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz sebagai berkata, pihaknya menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan Hari Kekasih atas alasan ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral.

Susulan itu, Dewan Pemuda Pas pada 10 Februari lalu menghantar memorandum membantah sebarang aktiviti mempromosi Hari Kekasih kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang diserahkan kepada Setiausaha Akhbarnya, Norazli Noh.

Abdul Hadi yang dilihat kecewa dengan pendirian Karpal itu cuba mengalihkan tumpuan terhadap perbezaan antara Pas dan DAP dengan menuduh UMNO sebagai gagal menjadi model terbaik untuk mendidik serta menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini.

"UMNO gagal menunjukkan model sebagai umat Islam, patutnya UMNO menjadi model, bukan sahaja dalam masalah moral tapi masalah pendidikan, pentadbiran dan rasuah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment