My Add

Monday 20 February 2012

Jika saya OKU telah daftar, kenapa tidak anda? - Surina

KUALA TERENGGANU, AHAD, 19 Februari, 2012: "Saya tanpa kaki pun sudah mendaftar sebagai pengundi dan mahu pergi mengundi bagi memilih wakil rakyat dan kerajaan," kata Surina Zakaria, 47.

Beliau yang kehilangan kedua belah kakinya akibat kemalangan enam tahun lalu hairan mengapa ramai belum berbuat demikian ketika pilihan raya umum makin hampir.

Ibu kepada enam orang anak ini, menyatakan demikian ketika diberitahu tentang 3.7 juta pengundi yang masih belum mendaftar di negara ini yang mana 2.22 juta terdiri daripada belia berusia 21 hingga 30 tahun.

"Kenapa tidak mahu mengundi?. Jangan jadikan alasan tiada masa untuk pergi daftar kerana sekarang banyak kaunter disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan tumpuan awam.

"Saya bangga mendaftar sebagai pengundi dan walaupun sukar ke tempat mengundi, saya akan mengundi untuk bersama-sama memilih wakil rakyat dan kerajaan," ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Surina yang masih menjalankan perniagaan aksesori pakaian wanita berpendapat, golongan belia kini lebih mementingkan habuan jika mahu mereka berbuat sesuatu termasuklah untuk mendaftar sebagai pengundi.

Jelasnya, kurangnya semangat patriotik dalam diri menyebabkan golongan belia mementingkan habuan berbentuk wang berbanding tanggungjawab kepada negara.

"Saya harap, golongan belia yang lengkap anggota badan segeralah mendaftar sebagai pengundi sebelum terlambat," ujarnya.

Surina yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan memberitahu, beliau kini menetap di Gong Badak dekat sini dan berpeluang mengundi di Terengganu setelah menukar alamat.

Beliau juga 'mewajibkan' anak- anaknya yang telah berusia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi agar masa depan mereka terjamin.

"Ibu bapa juga perlu menyuruh anak mereka mendaftar mengundi agar mereka tahu bahawa setiap undian itu amat penting buat negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment