My Add

Monday 20 February 2012

Air masuk rumah selepas dilanda ribut

BLOK E PPR Sri Cempaka di Lembah Pantai, Kuala Lumpur kehilangan bumbung akibat ribut yang berlaku pada Januari lalu.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Februari, 2012: Penduduk Blok E, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Cempaka di Lembah Pantai memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempercepatkan proses menggantikan semula bumbung blok itu yang diterbangkan ribut dalam kejadian bulan lalu.

Kelewatan membaiki bumbung flat 17 tingkat itu telah menyebabkan penduduk di aras bawahnya menanggung akibat apabila air hujan yang bertakung pada tingkat atas meresap ke dalam lantai dan menitik ke dalam unit rumah di tingkat 16.

Tinjauan Utusan Malaysia ke blok tersebut baru-baru ini mendapati bumbung 10 unit rumah di tingkat 17 masih belum dibaiki dan kelihatan air bertakung pada lantai rumah terbabit.

Seorang suri rumah yang tidak mahu dikenali berkata, air hujan yang bertakung dari tingkat atas telah meresap ke dalam lantai dan memasuki rumah di bawah.

Selain itu, katanya, air turut meresap ke dalam lubang wayar lampu dan menyebabkan berlaku litar pintas sehingga lampu pada bahagian dapur rumahnya tidak dapat digunakan bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini.

"Apabila tidak ada lampu memang susah untuk memasak dan buat kerja setiap hari. Lampu di dapur ini memang tidak boleh dinyalakan, kalau dinyala nanti akan berlaku litar pintas pada keseluruhan rumah.

"Suami saya sudah beberapa kali membuat aduan kepada DBKL. Mereka ada datang tengok tapi masih tiada tindakan lanjut," katanya.

Dia juga merayu kepada pihak berkuasa agar mengatasi masalah itu dengan cepat kerana bimbang air yang bertakung akan mengakibatkan berlaku kerosakan lebih besar pada masa depan dan akan membahayakan keselamatan anak-anaknya yang masih kecil.

Pada 25 Januari lalu, hujan lebat serta angin kencang yang melanda beberapa kawasan di ibu negara. Kejadian itu telah mengakibatkan sepuluh unit rumah yang terletak di tingkat 17 flat itu mengalami kerosakan di bahagian bumbung setelah diterbangkan angin kencang.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR tersebut, Ikhwan Hamzahberkata, pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Kami mencadangkan supaya DBKL dapat mengkaji penggunaan bumbung jenis reinforce concrete slab (bidur konkrit bertetulang) berbanding bumbung dari jenis logam agar kejadian bumbung terbang yang boleh mengancam nyawa penduduk dapat diatasi.

"Pihak kami juga khuatir dengan keadaan bumbung yang terdedah akan menyebabkan resapan air hujan terutamanya kepada rumah di tingkat 16," ujarnya.

No comments:

Post a Comment