My Add

Tuesday 21 February 2012

Kaum Penan, Kayan terima BR1M

Oleh RACHEL NINA

MIRI, ISNIN, 20 Februari, 2012: Meskipun tinggal di Baram, kawasan yang jauh daripada arus pembangunan, namun dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengetepikan penduduk pedalaman Sarawak itu.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpamanya, telah membawa kegembiraan kepada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini termasuk penduduk di 40 buah kampung sekitar Long Lama yang terletak lebih dua jam perjalanan dari bandar ini.

Ditemui Utusan Malaysia pada majlis penyampaian BR1M kumpulan pertama untuk DUN Telang Usang di Dewan Masyarakat Long Lama, semalam, tiada kata-kata lain yang diucapkan penduduk, melainkan terima kasih kepada kerajaan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas keprihatinan terhadap kehidupan penduduk luar bandar.

Seorang wanita Penan dari Long Tepen di kawasan Pelutan, Sepong Parayen, 79, mengakui amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kerana bantuan RM500 itu dianggap amat besar.

Sepong juga berterus-terang, seumur hidupnya, itulah bantuan terbesar yang pernah diterimanya.

"Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat di pedalaman tanpa mengira keturunan mereka.

"Wang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli makanan dan baju baharu, ia satu rahmat besar buat saya yang sebatang kara," katanya.

Bagi wanita Kayan, Puyang Wan, 75, dari Long Laput pula, BR1M amat penting bagi mengurangkan beban hidup yang mereka tanggung di pedalaman.

"Saya sangat gembira dengan 'hadiah' daripada Perdana Menteri ini dan akan menggunakannya sebaik mungkin.

"Saya juga berterima kasih kepada wakil rakyat kawasan ini kerana menghantar baucar dan wang ini ke Long Lama, sekurang-kurangnya menjimatkan kos pengangkutan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment