My Add

Monday 13 February 2012

Keadilan Palestin tercapai jika Islam bersatu

KUALA LUMPUR, AHAD, 12 Februari, 2012: Keadilan untuk rakyat Palestin yang sekian lama ditindas Israel akan hanya tercapai jika dunia Islam khususnya negara-negara Arab bersatu dalam ‘memerangi’ kekejaman rejim Zionis itu.

Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah berkata, usaha berterusan dalam memboikot produk keluaran Israel dan sekutunya iaitu Amerika Syarikat (AS) juga boleh dijadikan alat bagi melumpuhkan kekejaman rejim berkenaan.

Namun menurutnya, apa yang dikesali biarpun kekejaman Israel itu sering kali dipaparkan media, masih terdapat umat Islam yang ‘buta hati’ menyokong Israel seperti dari segi keadilan dan juga membeli produk negara itu.

“Masalah di Palestin ini mudah sebenarnya (diselesaikan). Jika semua dunia Islam dan negara-negara Arab bersatu serta memberi tekanan kepada AS, sudah lama isu ini selesai.

“Kepada umat Islam pula, jika tidak mampu menyokong keadilan untuk Palestin secara diplomatik, mereka boleh sokong kempen memboikot produk-produk keluaran Israel dan AS.

“Malangnya kesedaran itu kurang. Masih ada kalangan mereka yang terus menyokong produk-produk berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengasas Viva Palestina, George Galloway yang menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersatu mempertahankan Palestin daripada penjajahan rejim Zionis menerusi tindak-tanduk yang lebih lantang dan bukannya sekadar bercakap kosong.

Zawahir berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, IAM akan sentiasa konsisten menentang sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Israel.

Sementara itu, GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, masyarakat antarabangsa perlu bersikap adil dalam berhadapan dengan konflik di Tebing Barat dan keadilan itu seharusnya berpihak kepada mereka yang tertindas iaitu rakyat Palestin.

Jelasnya, ini kerana selama ini masyarakat antarabangsa hanya membiarkan tingkah laku buruk Israel terhadap Palestin yang didorong oleh AS.

Ditanya peranan yang boleh dimainkan Malaysia dalam mencari keadilan di Palestin katanya, walaupun sebuah negara kecil, Malaysia boleh menggunakan pengaruh diplomatik untuk mengajak masyarakat antarabangsa memerangi gerakan ekstremis. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment