My Add

Wednesday 15 February 2012

Kedah lebih maju di bawah BN

POKOK SENA, SELASA, 14 Februari, 2012: Perubahan yang lebih besar dapat dibawa ke Kedah jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Kerajaan Pusat tidak mahu ada wilayah atau negeri yang terpisah dari arus pembangunan yang ingin dibawa ke arah mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sehubungan itu, kata beliau, matlamat pembangunan negara boleh dicapai dengan lebih mudah sekiranya peringkat kepimpinan negara dan negeri diterajui oleh parti yang sama kerana kedua-duanya boleh bergandingan dan bekerjasama dengan baik.

“Sokongan dan dukungan Kerajaan Pusat amat penting kerana ada kesatuan dari segi pemikiran dan tindakan apabila kedua-dua pimpinan pentadbiran adalah daripada parti sama.

“Maknanya secara ikhlas, kalau nak lihat Kedah maju, maka jangan pilih Pas pada pilihan raya umum akan datang,” katanya di sini hari ini.

Sebelum majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO negeri diikuti pertemuan dengan Badan Perhubungan BN negeri di Bangunan Tunku di sini.

Menurut Muhyiddin, rakyat tidak boleh memperjudikan nasib generasi akan datang dengan menyokong sesebuah parti semata-mata kerana fahaman politiknya, sebaliknya mereka perlu menilai parti mana yang lebih mampu membawa pembangunan dan kemajuan.

“Ini soal masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang. Tidak boleh kalau kerana fahaman politik sanggup menyokong parti tertentu walaupun ia tidak membawa ke mana-mana.

“Kalau memikirkan soal kepentingan kemajuan ummah dan pembanguan akan datang, perlu ada gandingan serta kerjasama iaitu kerajaan Pusat adalah BN, kerajaan negeri juga BN. Kita boleh duduk bincang sama-sama dan cari jalan sama-sama apa nak buat,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu Muhyiddin berkata, Kedah merupakan negeri yang boleh dimenangi BN jika pemimpin-pemimpin peringkat negeri mampu menyelesaikan masalah dalaman dan bekerja dengan lebih keras.

Katanya, rakyat Kedah kini semakin menyedari kelemahan kerajaan negeri yang diterajui Pas yang tidak berupaya meneruskan pembangunan yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan BN sebelum ini selain berlaku perubahan positif pada sentimen dan sikap pengundi terhadap dasar Kerajaan Pusat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment