My Add

Saturday 18 February 2012

Keluarga Asyraf Haziq bersyukur keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Keluarga penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang dibelasah sekumpulan perusuh di London, Ogos tahun lalu melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Utara London hari ini.

Ibu mangsa, Maznah Abu Mansoor berkata, beliau sekeluarga bersyukur dan berharap selepas ini Muhammad Asyraf dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya dalam bidang perakaunan.

Katanya, keputusan itu dianggap adil terhadap anak lelaki kesayangannya itu.

Jelas beliau, anak lelakinya itu ada memberitahu bahawa dia sedikit terganggu ekoran proses perbicaraan dan berharap Muhammad Asyraf akan kembali fokus serta dapat menjalani kehidupan di sana dengan aman sejahtera.

"Selaku ibu, saya sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah itu dan berharap agar dia dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya selepas ini," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan laporan agensi AFP, Mahkamah Utara London hari ini mendapati seorang remaja, Beau Isagba, 17, bersalah atas tuduhan mencederakan Muhammad Asyraf hingga cedera di rahang apabila diserang di Barking, Timur London.

Dalam perbicaraan itu, Isagba mengaku mencuri basikal Muhammad Asyraf dan mendakwa dia berasa penat akibat terlibat dalam rusuhan itu tetapi menafikan menyerang Asyraf.

Muhammad Asyraf, penuntut tahun pertama jurusan perakaunan di Kolej Kaplan, Barking dibelasah sekumpulan perusuh ketika keluar untuk membeli juadah berbuka puasa Ogos lalu.

Ekoran kejadian itu, penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat itu terpaksa menjalani pembedahan membetulkan rahang di Hospital Royal London.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi menyifatkan keputusan itu satu keputusan yang baik dari segi keadilan terhadap Muhammad Asyraf.

Beliau berkata, apa yang diharap adalah Muhammad Asyraf tenang dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada pengajian. - UTISAN

No comments:

Post a Comment