My Add

Saturday 18 February 2012

Sifat benci melampau punca perpecahan umat


Harussani Zakaria menyampaikan pandangannya dalam sesi perbincangan isu bertajuk Kesepaduan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Dalam Menyelamatkan Masalah Umat pada Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di Kuala Lumpur, 

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, antara punca perpecahan umat Islam yang terus berpanjangan di negara ini adalah disebabkan wujudnya sifat benci-membenci yang begitu melampau, termasuk yang diperkatakan oleh khatib di mimbar-mimbar masjid.

Katanya, beliau sendiri pernah menjadi mangsa cercaan di mimbar masjid apabila terdapat khatib yang menggelarkannya 'haramsani' dan 'Harussani anjing kerajaan.'

Beliau berkata, perkataan itu jelas memperlihatkan kebencian yang begitu hebat sehingga mereka sanggup menggunakan mimbar masjid untuk mencacinya.

"Bukan saya tidak tahu ada khatib mencerca saya. Saya sebenarnya kasihan melihat khatib seperti ini kerana mereka membawa perbuatan fasiq di dalam ibadat.

"Persoalannya sekarang, sah atau tidak solat Jumaatnya," katanya ketika menjadi ahli panel dalam sesi pertama Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini malam ini.

Selain beliau, turut menjadi ahli panel sesi tersebut ialah Timbalan Dekan, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Pengerusi Jawatakuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya.

Ketiga-tiga ahli panel membincangkan isu bertajuk Kesepaduan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya dalam menyelamatkan masalah umat.

Dalam perkembangan berkaitan, Harussani berkata, sudah tiba masanya tahap kebencian seperti itu dihentikan kerana ia hanya akan mengundang perpecahan yang tiada kesudahan.

Hakikatnya, beliau berkata, perpecahan amat dibenci oleh Allah dan Rasulullah kerana ia bukan sahaja melemahkan kekuatan umat Islam malah Islam itu sendiri.

"Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat Allah yang memerintahkan semua umat Islam mengikat tali persaudaraan dan kukuhkan perpaduan. Ini merupakan perintah Allah yang wajib kita patuhi," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta umat Islam negara ini menjauhi sifat keji yang terkandung dalam ayat ke-10 surah al-Hujurat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment