My Add

Saturday 4 February 2012

Keluarga harap diberikan bukti pengesahan kematian - Adik

MUAR, sabtu, 04 Februari, 2012: Keluarga pemimpin kanan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI), Zulkifli Hir yang terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat kumpulan militan itu di selatan Filipina semalam mengharapkan diberi bukti pengesahan kematiannya.

Seorang adik lelaki Zulkifli yang enggan dikenali berkata, kesahihan kematian abangnya masih belum dibuktikan, tetapi mereka reda sekiranya berita itu benar.

"Perkara ini masih belum disahkan sama ada dia (Zulkifli) atau orang lain. Kami dapat tahu berita ini petang semalam daripada saudara terdekat yang bekerja sebagai polis," katanya kepadaUtusan Malaysia di Kampung Jeram Masjid, Bakri di sini, semalam.

Semalam, tentera Filipina membunuh tiga pemimpin paling dikehendaki daripada kumpulan Abu Sayyaf serta pertubuhan JI termasuk Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan.

Dalam serangan itu, sejumlah 15 militan terbunuh termasuk pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail dan warga Singapura, Abdullah Ali atau Muawiyah.

Kumpulan militan itu didakwa terlibat dalam beberapa serangan pengganas di Filipina seperti serangan bom ke atas sebuah feri di Manila yang membunuh lebih 100 orang dan banyak insiden penculikan di selatan Filipina.

Menurut adik lelaki Zulkifli itu, ibunya, Aminah Abdul Aziz, 64, tenang berdepan dengan situasi tersebut dan tidak mengalami sebarang petanda atau mimpi aneh sebelum insiden berkenaan.

Katanya, pihak polis dari Bukit Aman sudah mengambil contoh asid deoksiribonukleik (DNA) ibu dan beberapa adik-beradik yang lain pagi ini dan kesemua 10 adik-beradik Zulkifli yang tinggal di luar daerah akan berkumpul.

Menurutnya, kali terakhir Zulkifli yang disifatkan sebagai seorang yang mesra dan baik hati pulang ke kampung ialah kira-kira 10 tahun lalu dan selepas itu hanya berhubung melalui perantara yang memaklumkan keadaan kesihatannya.

Zulkifli, 46, lulusan dalam bidang kejuruteraan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat mempunyai isteri serta tiga anak dan dikatakan berada di Filipina sejak 2003. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment