My Add

Saturday 11 February 2012

Kerajaan BN tidak perdagang janji - PM

NAJIB Tun Razak menyaksikan penyerahan replika kunci disampaikan oleh Idris Haron (kiri) kepada Mohamad Hasan pada Majlis Penyerahan Rumah Mampu Milik Kampung Abok, Rahang dekat Seremban, semalam. - BERNAMA

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, NAZARUDIN SHAHARI dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
SEREMBAN, SABTU, 11 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pentadbiran kewangan yang efisien dan pengurusan ekonomi yang baik bagi membolehkan kerajaan memperjuangkan nasib rakyat dalam segala aspek.

Perdana Menteri berkata, ini disebabkan kerajaan mempunyai dana dan hasil yang cukup di mana ia boleh diagihkan dan diperturunkan kepada rakyat.

''Saya perlu sebutkan bahawa kerajaan kita mestilah merupakan kerajaan rakyat dan sebab itulah rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan rumah mampu milik berkualiti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada kerajaan negeri di Kampung Abok, Rahang dekat sini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron.

Kata Najib, kerajaan tidak memperdagangkan janji sebaliknya menunaikan ia dalam bentuk tindakan.

"Malaysia mencatat rekod perdagangan tertinggi keseluruhan bernilai RM1.269 trilion pada tahun 2011. Angka itu sekali gus bererti nilai dagangan keseluruhan negara meningkat dua kali ganda berbanding pendapatan kasar negara (GDP) yang mencatat RM560 bilion.

"Apabila ekonomi negara berkembang, hasil negara bertambah dan bila kita urus kutipan hasil dengan baik, kita akan dapat pendapatan yang bertambah. Sebab itu bila saya bentang Bajet 2012, saya boleh, dengan keyakinan membantu meringankan beban rakyat," kata Perdana Menteri.

Najib juga menambah, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, perancangan induk negara harus dilihat dalam konteks yang besar dan meluas.

''Kalau pembangkang kata kita pinjam dana dari Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau mana-mana institusi kewangan yang lain untuk memberi bantuan kepada rakyat, ini cerita karut, fitnah dan patut ditolak oleh rakyat," kata Najib.

Mengenai rumah 'town house' yang dibina di Kampung Abok, Najib berkata, ia adalah rumah terbaik dan berkualiti yang disediakan kepada penduduk setinggan di kawasan berkenaan.

''Seramai 99 keluarga akan mendapat nikmat mendiami rumah ini, jaga elok-elok dan jadikan ia harta pusaka untuk anak-anak kita. Mereka yang tidak mampu, kerajaan negeri akan mencari penyelesaikan terbaik," ujar beliau. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment