My Add

Tuesday 7 February 2012

Kerajaan tetap sediakan jaringan keselamatan sosial - PM

KLANG,ISNIN, 06 Februari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Malaysia bukan negara kebajikan, kerajaan tetap menyedia dan melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial demi kebajikan rakyat, termasuk golongan kurang bernasib baik.

Menurutnya, melalui dasar jaringan keselamatan sosial dan memberi keutamaan kepada kebajikan, sebuah masyarakat yang lebih adil dan lebih seimbang daripada segi perkongsian kekayaan negara akan dapat diwujudkan.

"Kita mesti merasa empati kepada golongan seperti orang kurang upaya (OKU) dan kurang bernasib baik. Sebab itu kerajaan mengamalkan jaringan keselamatan sosial walaupun kita bukan negara kebajikan," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa banyak negara kebajikan di dunia akhirnya menghadapi masalah ekonomi yang amat serius.

Najib berkata demikian pada majlis sambutan Chap Goh Mei, iaitu hari ke-15 Tahun Baru Cina, yang dihadiri kira-kira 1,500 OKU, warga emas dan anak yatim berbilang bangsa di sini hari ini.

Najib berkata, jaringan keselamatan sosial itu, antara lain, disediakan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kita menjalankan program 1Karisma dengan peruntukan RM1.4 bilion setahun untuk menolong golongan kurang bernasib baik seperti OKU, ibu tunggal dan lain-lain," katanya.

Najib juga berkata, kerajaan sudah melaksanakan inisiatif seperti bantuan awal persekolahan RM100 setiap murid serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyaksikan, buat kali pertama dalam sejarah negara, kerajaan menyalurkan bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan kurang RM3,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment