My Add

Tuesday 7 February 2012

Rakyat patut berbangga dengan sikap toleransi kaum - TPM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 06 Februari, 2012: Rakyat Malaysia patut berbangga dengan sikap toleransi yang menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini yang amat istimewa dan tidak akan mampu dinikmati di negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanpa toleransi tentunya Malaysia tidak akan berdiri megah seperti sekarang ini.

"Justeru untuk memastikan apa yang kita nikmati pada masa ini dapat terus dinikmati pada masa akan datang, maka adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk terus saling hormat menghormati di atas platform toleransi," katanya dalam mesej sempena sambutan Thaipusam esok.

Muhyiddin berkata, jangan sesekali memandang remeh kepentingan toleransi sesama kaum kerana ikatan perpaduan yang lemah akan menjadi punca timbulnya sikap permusuhan sekali gus memusnahkan usaha merapatkan kaum-kaum di negara ini yang dimulakan sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Sehubungan itu, adalah menjadi harapan saya agar setiap nilai positif yang menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup antara kaum di negara ini akan terus menjadi keutamaan setiap rakyat Malaysia.

"Hayati dan laksanakan apa juga langkah yang boleh menguatkan lagi ikatan perpaduan di antara penduduk pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Muhyiddin berkata, satu lagi keunikan masyarakat Malaysia terserlah apabila kaum India beragama Hindu meraikan sambutan Hari Thaipusam - satu lagi tradisi yang dapat dilangsungkan hasil toleransi kaum yang dinikmati rakyat negara ini sejak dahulu lagi.

"Semua rakyat Malaysia maklum bahawa perayaan Thaipusam yang bermatlamatkan penyucian jiwa daripada segala dosa telah menjadi salah satu tarikan pelancongan di negara kita.

"Betapa uniknya apabila perayaan bersifat agama untuk kaum India ini berjaya menggamit minat orang luar untuk datang ke negara ini melihat sendiri sambutan yang diadakan secara besar-besaran.

"Saya pasti kedatangan pelancong untuk menyaksikan perarakan sempena Hari Thaipusam didorong oleh rasa kagum mereka betapa Malaysia yang agama rasminya Islam dan majoriti penduduknya juga beragama Islam tidak menghalang penganut agama lain meraikan perayaan keagamaan mereka dengan begitu meriah sekali," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment