My Add

Friday 24 February 2012

Kes baling kasut: Laporan polis terhadap bekas imam

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis terhadap seorang bekas imam berhubung tindakannya membaling kasut ke arah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan ketika permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu, didengar.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Mohd. Aizuddin Zolkeply berkata, laporan itu dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jumirah Marjuki di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, semalam.

Menurut beliau, laporan itu bertujuan menyangkal semua tuduhan oleh bekas imam, Hoslan Hussin yang mendakwa dinafikan hak untuk didengar secara adil ketika mahkamah menolak permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu.

``Tuduhan tersebut tidak berasas dan pejabat ini mempunyai rakaman setiap pendengaran yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan,’’ ujar beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Kehakiman di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Aizuddin menjelaskan, Pejabat Ketua Pendaftar tidak berhasrat memberikan komen lanjut berhubung insiden tersebut kerana kes itu masih dalam siasatan polis.

Kenyataan tersebut turut menyatakan, badan kehakiman memandang serius perkara-perkara yang boleh mencemar imejnya sama ada melalui tindakan secara langsung atau tidak serta sebarang komen yang boleh menjatuhkan kredibiliti institusi berkenaan.

Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hoslan bagi mencabar kesahihan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengosongkan kuarters yang didudukinya selepas pelantikannya sebagai imam ditamatkan oleh agensi itu, hampir empat tahun lalu.

Hoslan yang merupakan bekas imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di ibu negara, gagal mendapat kebenaran merayu selepas mahkamah membenarkan bantahan awal MAIWP tanpa kos.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datin Paduka Zaleha Zahari. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment