My Add

Saturday 18 February 2012

Ketua Pembangkang perlekeh Pas

HISHAMMUDDIN Tun Hussein bertanya sesuatu kepada seorang kanak-kanak masyarakat Orang Asli yang sedang bermain muzik tradisional pada Program Mesra Rakyat Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Pengkalan Tereh, Kluang, semalam.


Oleh HAMDAN TAWADI

KLUANG, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap dengan pendiriannya untuk mengiktiraf kewujudan negara Israel disifatkan sebagai memperlekehkan Majlis Syura Ulama Pas dan kepimpinan parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jelas sekali pendirian Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang itu berbeza dalam isu kewujudan Israel.

Bahkan, Pas akan lari daripada prinsip perjuangannya jika menerima pendirian tersebut.

"Sama ada hendak keluar atau tidak dari pakatan pembangkang, itu terserah kepada Pas. Tetapi kalau Pas terima penjelasan Anwar, maka ia sudah lari daripada perjuangan asal parti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Rakyat Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, dekat sini hari ini.

Laporan muka depan sebuah akhbar hari ini melaporkan Anwar tetap dengan pendiriannya mengiktiraf kewujudan negara Israel dengan syarat tentera negara tersebut perlu berundur dari tanah Arab, keganasan dihentikan serta aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin dihormati.

Anwar turut dilaporkan berkata, beliau memahami bahawa Pas berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan parti itu tidak berhasrat mengadakan rundingan serta kerjasama dengan Israel.

Dalam temu bual bersama Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Januari lalu, Anwar dilapor menyatakan sokongan terhadap semua usaha menjaga dan melindungi keselamatan negara Israel.

Ekoran laporan itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Anwar menarik balik kenyataan itu atau menyaman (WSJ) sekiranya artikel tersebut tidak benar.

Hishammuddin berkata, Anwar sebenarnya tersilap langkah dalam keghairahannya untuk meraih sokongan pihak tertentu sehingga sanggup menggadaikan prinsipnya.

"Pertamanya, ini menunjukkan beliau tidak konsisten dan keduanya ini isu berat.

"Apa yang beliau nyatakan dalam WSJ iaitu beliau sebenarnya mengiktiraf Israel, sekali gus menidakkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin yang tidak diterima umat Islam serta negara Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment