My Add

Saturday 4 February 2012

KL bandar raya pilihan bagi syarikat Arab buka pejabat

KUALA LUMPUR, SABTU, 04 Februari, 2012: Kuala Lumpur berada pada kedudukan tertinggi dalam kalangan bandar raya Asia Tenggara bagi syarikat-syarikat Arab membuka pejabat serantau dan pejabat wakil, demikian menurut satu kaji selidik kendalian Strategia International.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Global Business Forum (MGBF) berkata, hasil kaji selidik itu adalah susulan kejayaan Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-18 dalam Laporan ”Doing Business” 2012, iaitu meningkat lima anak tangga daripada tahun lepas, di samping kekal sebagai negara terunggul di dunia bagi mengumpul kredit dan keempat di dunia bagi langkah melindungi pelabur.

MGBF berkata, Malaysia dan dunia Arab mempunyai sejarah bersama yang panjang, iaitu sejak kemasukan Islam di Malaysia semasa zaman kegemilangan perdagangan Melaka.

"Malaysia sekali lagi berada pada kedudukan yang sangat hampir dengan beberapa pasaran terbesar dan terpantas berkembang di dunia, menjadikannya destinasi perniagaan yang menarik.

"Ada banyak yang boleh ditawarkan oleh Malaysia kepada dunia Arab, khususnya dalam bidang pembangunan penjagaan kesihatan, jaminan makanan, perbankan Islam, pembangunan prasarana serta teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya.

MGBF berkata, ia akan mengadakan satu forum bertajuk ”Rakan Kongsi Strategik: Malaysia & Dunia Arab”, di sini pada 21-22 Februari, 2012 yang akan diterajui Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment