My Add

Monday 13 February 2012

Kompeni Askar Wataniah Felda dilancar

HULU SELANGOR, AHAD, 12 Februari, 2012: Program 'Merakyatkan Tentera' yang terkandung dalam pelan transformasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperluaskan dengan pelancaran Kompeni Askar Wataniah (AW) Wilayah Felda hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelancaran kompeni tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat Felda berhubung keselamatan negara.

Katanya, ia sekali gus mengeratkan hubungan antara golongan tersebut dan ATM sebagai satu wasilah untuk memperjuangkan nasib generasi baru Felda.

"Penyertaan masyarakat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan ibu pertiwi yang bersesuaian dengan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) yang ditetapkan dalam dasar pertahanan negara.

"Kerajaan mahu mewujudkan lebih banyak kawasan Felda yang sentiasa selamat serta aman supaya pembangunan rakyat dapat dilakukan dengan berkesan. Selain menjaga keselamatan, pasukan AW juga boleh melaksanakan kerja amal termasuk membina rumah rakyat miskin, membantu mangsa banjir atau lain-lain bencana alam.

"Saya yakin usaha ini secara tidak langsung membantu kerajaan bukan sahaja daripada aspek penambahan anggota AW, malah dapat menyalurkan maklumat kepada orang awam mengenai tugas sebenar pasukan tersebut," katanya selepas melancarkan pasukan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Gedangsa di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau memeriksa perbarisan pasukan yang terdiri daripada 12 pegawai dan 120 anggota lain-lain pangkat itu yang diketuai Mejar Mohd. Subhi Marsan.

Majlis bersejarah membabitkan kontinjen dari kawasan Felda Gedangsa, Sungai Tengi Selatan dan Kampung Soeharto itu juga dihadiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.

Tambah Ahmad Zahid, pihaknya menyasarkan 10 kompeni AW ditubuhkan di tanah-tanah rancangan Felda, namun tidak menolak sekiranya terdapat permintaan daripada 314 tanah rancangan lain untuk menubuhkan pasukan mereka sendiri.

"Saya mengajak lebih ramai generasi muda pelbagai kaum menyertai angkatan tentera simpanan tanpa rasa prejudis, perbezaan pendapat dan fahaman politik," kata beliau.

Sementara itu Zulkifeli berkata, pihaknya telah mengisytiharkan tarikh 14 Februari ini sebagai hari memperingati pejuang-pejuang yang gugur dalam mempertahankan negara pada tarikh tersebut termasuk Leftenan Adnan Saidi.

"Kebetulan pada waktu itu kita akan berada di Singapura untuk Pertunjukan Udara Singapura. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan saya akan melawat Bukit Candu iaitu tempat Leftenan Adnan terkorban," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment