My Add

Monday 13 February 2012

Agihan lewat BR1M diatasi

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

GOPENG, AHAD, 12 Februari, 2012: Kerajaan memberi jaminan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak akan tetap dilaksanakan walaupun kini berdepan masalah logistik untuk menyalurkan bantuan tersebut.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, masalah kelewatan agihan BR1M di kawasan berkenaan sudah disampaikan kepada Kabinet dan beberapa langkah sudah diambil bagi mengatasinya.

''Jaraknya jauh, bukan mudah hendak bawa wang beratus ribu ringgit ke kawasan pedalaman, kita perlu fikir soal keselamatan. Kita sudah nyatakan bahawa siapa juga yang layak, akan diberi bantuan tanpa mengira di mana mereka tinggal.

''Kita sudah minta supaya mereka ini dikenal pasti dan kita akan salurkan bantuan. Jika ada yang lewat menerima bantuan, harap mereka bersabar, bantuan tetap akan diberi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Keusahawan Mara di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu kelewatan agihan BR1M yang dilaporkan berlaku di banyak kawasan terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Mohd. Shafie bagaimanapun berkata, di kebanyakan kawasan di negeri terbabit, wang bantuan dapat disalurkan dengan lancar kecuali di kawasan terpencil yang mana isu logistik menjadi masalah utama.

''Ada juga yang datang dari jauh tetapi nama mereka tiada dalam senarai penerima, sebab itu kerajaan tubuhkan pasukan khas dengan bantuan pemimpin setempat untuk kenal pasti mereka yang layak.

''Jika ada yang tidak tersenarai, kita sudah minta supaya mereka membuat permohonan semula kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana tempohnya masih panjang iaitu sehingga April ini," jelasnya.

Ditanya mengenai gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bantuan RM100 kepada pelajar dan RM500 kepada golongan berpendapatan rendah dilakukan setiap tahun, Mohd. Shafie berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) ada kemampuan untuk meneruskan bantuan tersebut jika keadaan ekonomi negara terus berkembang seperti pada masa ini.

''Kerajaan ada keupayaan untuk terus bantu rakyat, kita tidak sama macam pembangkang, bagi RM100 (kepada warga emas) di Pulau Pinang saja tapi tidak di negeri lain yang mereka kuasai. Kita (BN) beri kepada semua dari Perlis hingga ke Sabah tanpa mengira kaum," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment