My Add

Wednesday 8 February 2012

KWSP tidak beri pinjaman kepada individu

KUALA LUMPUR, RABU, 08 Februari, 2012: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mengeluarkan pinjaman kepada individu, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau berkata, individu yang berminat mendapatkan pinjaman bagi tujuan membeli rumah perlu memohon terus kepada kementerian berkenaan.

Beliau berkata demikian di dalam kenyataan bagi menjelaskan mengenai skim yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini berhubung cadangan penjualan perumahan awam kepada peserta yang layak.

Katanya, kumpulan wang itu masih berbincang dengan syarikat tujuan khas Yayasan Wilayah Persekutuan (SPV Yayasan WP) untuk memberikan pinjaman dengan syarat yang sedang dimuktamadkan. 

Pada asasnya, syarat itu membabitkan kemudahan awal RM300 juta dengan pinjaman selanjutnya akan diluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP, yang tertakluk kepada prestasi memuaskan pengendalian akaun oleh SPV Yayasan WP. 

Kemudahan itu akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada jumlah RM300 juta dibuat. 

“KWSP ingin memberikan jaminan kepada ahlinya bahawa semua pinjaman yang diberikan KWSP kepada Kerajaan Malaysia atau agensi kerajaan lain dibuat berdasarkan pertimbangan komersil dan dengan jaminan yang bersesuaian untuk melindungi kepentingan ahli,” katanya bagi menjelaskan pertanyaan yang diterima dari orang ramai mengenai pinjaman berkenaan. 

Di dalam kes ini, SPV Yayasan WP akan mengadakan urusan pajakan (Skim Ijarah) dengan peserta individu. 

Hak milik rumah itu kepunyaan SPV Yayasan WP sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah itu diselesaikan sepenuhnya oleh peserta terbabit. 

Pinjaman kepada SPV Yayasan WP adalah terjamin kerana semua unit rumah akan dicaj atau diperuntukkan syarikat itu kepada KWSP, dengan perlindungan jaminan sekurang-kurangnya dua kali ganda amaun pinjaman. 

Di samping itu, katanya terdapat penahanan tunai 25 peratus daripada pembayaran pinjaman KWSP kepada SPV Yayasan WP yang akan disimpan dalam akaun rizab kecairan yang diperuntukkan kepada KWSP bersama-sama dengan semua peruntukan aliran tunai. 

“Syarat perjanjian pinjaman juga dalam risiko boleh diterima KWSP kerana ia dicagarkan terhadap aset dan aliran tunai dengan jaminan yang sesuai ke atas pembayaran balik pinjaman yang dibuat. KWSP difahamkan bahawa SPV Yayasan WP hanya akan memilih peserta yang mempunyai rekod bayaran sewa yang baik,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment