My Add

Saturday 4 February 2012

Lawan kes berdasarkan merit bukan serang badan kehakiman

BANGI, SABTU, 04 Februari, 2012: Lawan semua kes mahkamah berdasarkan merit dan bukan sekadar sembarangan menyerang hakim dan badan kehakiman, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Abdul Hamid Mohamad. .

Merujuk kepada kes baru-baru ini yang melibatkan seorang anggota politik pembangkang di mana perbicaraan kes itu mengambil masa 88 hari bekerja selama dua tahun dan 10 bulan, beliau berkata terdapat cubaan dalam prosiding itu untuk memburukkan badan kehakiman dan mempersoalkan kebebasan badan kehakiman.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata kes yang melibatkan bekas Menteri Besar yang menghadapi tuduhan rasuah hanya mengambil masa 19 hari bekerja dalam tempoh satu tahun berjalan lancar tanpa digembar-gembur.

Dan apabila beliau didapati bersalah, beliau tidak mengkritik hakim dan badan kehakiman, katanya.

"Begitu juga kes yang melibatkan beberapa individu termasuk Datuk Harun Idris, Abdul Ghani Ishak, Datuk Zulkifli Abdul Hamid dan Datuk Mokhtar Hashim, semua melawan kes mereka berdasarkan merit, dan tidak mempunyai elemen untuk menyerang hakim-hakim dan badan kehakiman,” katanya semasa memberi syarahan sulung dalam Siri Syarahan - ”Integriti: Anda Tahu Tetapi Adakah Anda Memilikinya?” di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini semalam.

Abdul Hamid yang juga anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berkata integriti badan kehakiman di negara ini telah meningkat dengan ketara sejak empat tahun lepas.

Beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk mengembalikan integriti badan kehakiman, yang berada pada kedudukan terendah membabitkan kes rakaman perbualan telefon antara seorang peguam terkenal dengan seorang hakim kanan.

Di samping itu, beliau berkata, mahkamah telah berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak dan memendekkan tempoh penyelesaian kes sehingga Bank Dunia telah memberi laporan yang menggalakkan mengenai perkara itu,” katanya.

Abdul Hamid, yang juga bekas Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pemimpin politik, badan tertinggi pentadbiran dan pemimpin korporat mesti serius menentang rasuah dan perlu menunjukkan teladan yang baik.

"Orang ramai cenderung hanya memberi tumpuan kepada sektor awam manakala sektor swasta terlepas perhatian.

"Kerajaan atau penjawat awam, hakim-hakim dan lain-lain mestilah bersih manakala syarikat dan ahli perniagaan tidak perlu bersih kerana mereka hanya dinilai berdasarkan berapakah keuntungan yang mereka perolehi. Budaya itu mesti ditukar,” katanya.

Abdul Hamid berkata ahli politik, sama ada mereka memerintah kerajaan atau pembangkang, tidak harus mengamalkan sikap bahawa mereka adalah terkecuali.

"Dalam usaha memerangi rasuah, tiada sesiapa yang istimewa dan terkecuali,” tegas beliau.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment