My Add

Tuesday 7 February 2012

Madrasah Salihiah: Ibrahim Ali sanggup cium kaki MB Kedah

IBRAHIM Ali (depan, lima kiri) dan Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad (baju kuning, tengah) bersama ahli Perkasa yang lain hadir di mahkamah bagi pengurusan kes injunksi menghalang perobohan Madrasah Salihiah di Mahkamah Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR, SELASA, 07 Februari, 201: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau sanggup mencium kaki Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak jika tindakan itu dapat menyelamatkan Madrasah Salihiah, di sini daripada dirobohkan. 

Katanya, beliau tidak kisah dianggap bacul dengan perbuatan tersebut asalkan dapat membantu Jawatankuasa Madrasah Salihiah mempertahankan kewujudan madrasah berusia lebih 100 tahun itu demi perjuangan memartabatkan syiar Islam.

"Saya dengan rendah diri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki merayu kepada Menteri Besar Kedah supaya sedar dan hayatilah kehendak Jawatankuasa Madrasah Salihiah ini.

"Walaupun saya jadi bacul, kalau Azizan kata Madrasah Salihiah tidak akan dirobohkan dengan syarat Ibrahim Ali datang cium kaki dia, saya pergi cium kaki dia esok. Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu jawatankuasa madrasah ini," katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang pada program Sambutan Maulidur Rasul dan Ceramah Perdana anjuran Perkasa dan Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah, di pekarangan madrasah itu malam semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ibrahim berkata, beliau secara terbuka merayu kepada Azizan supaya tidak merobohkan madrasah tersebut dengan alasan 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.'

Kata beliau, tiada sebab Menteri Besar itu tidak boleh bertegas untuk menyelamatkan madrasah berkenaan kerana sebelum ini Azizan dapat bertegas dengan keputusannya berhubung isu penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sehingga dikecam sekutunya dalam pakatan pembangkang.

"Kalau isu pengantungan pelajar Kuin beliau boleh bertegas, kenapa tidak boleh bertegas bagi menyelamatkan Madrasah Salihiah yang lebih besar isu dan tanggungjawabnya. Ini rumah ibadah di atas tanah wakaf yang mempunyai warisan sejarah," katanya.

Sebelum itu, Ibrahim mengepalai perarakan sejauh hampir empat kilometer yang disertai kira-kira 2,000 umat Islam tanpa mengira peringkat usia dan latar belakang sempena majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah.

Mereka berarak dari Madrasah Salihiah ke Jalan Tambang Badak dan memasuki Jalan Putra di persimpangan lampu isyarat berdekatan Restoran Nasi Kandar Salam dan kemudian membelok ke Lebuhraya Darulaman sebelum kembali ke madrasah berkenaan.

Sepanjang perarakan itu, para peserta yang terdiri daripada penduduk sekitar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama mengalunkan bacaan selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sambutan kemudian diteruskan di Madrasah Salihiah dengan ceramah oleh Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim; Ibrahim dan Pengasas Pondok Geting, Kelantan, Abdullah Sa'amah.

Hadir sama, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali; Yang Dipertua Perkasa Kedah, Syed Osman Mansor dan Pengerusi Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment