My Add

Tuesday 7 February 2012

PR1MA wujud imbangan pembelaan

ROMPIN, SELASA, 07 Februari, 2012: Pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan mewujudkan imbangan pembelaan antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, Perdana Menteri tidak mengabaikan masyarakat bandar sebaliknya menyedari masalah yang dialami mereka terutama untuk memiliki rumah kediaman sendiri.

"Menyedari ramai rakyat terutama golongan muda tidak mampu membeli rumah di kawasan bandar kerana harganya yang terlalu tinggi, maka Perdana Menteri mewujudkan PR1MA dan melantik saya untuk menjadi Pengerusi PR1MA Berhad.

"Selain bagi mengimbangi pembelaan kerajaan terhadap rakyat di kawasan bandar dan luar bandar, projek itu adalah cetusan idea Perdana Menteri dalam membantu rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk memiliki rumah sendiri di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 2,210 rakyat dalam kawasan Parlimen Rompin, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Senator Datuk Maznah Mazlan dan ADUN Tioman, Datuk Mohd. Johari Hussain.

Jamaluddin berkata, pakej PR1MA cukup menarik yang mana kerajaan akan membiayai kos tanah dan infrastruktur dengan pembeli hanya perlu membayar untuk kos sebuah rumah.

"Untuk pembinaan PR1MA di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, saya akan berjumpa dengan kerajaan negeri untuk membincangkan mengenai perkara ini.

"Kita juga akan mengenal pasti tanah yang dimiliki syarikat milik kerajaan (GLC) dan akan membeli tanah itu. Saya pasti mereka (pembangkang) akan menyokong projek ini (PR1MA) kerana ia bertujuan membantu rakyat memiliki rumah," katanya.

Mengenai pelantikan duta baru Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, nama penggantinya telah diberikan kepada kerajaan AS.

"Saya dipanggil pulang oleh Perdana Menteri dan dilantik sebagai duta khas untuk bertugas di Putrajaya. Pengganti saya akan diumumkan nanti," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment