My Add

Wednesday 15 February 2012

Malaysia catat pertambahan pendapatan perkapita

SHAH ALAM, selasa, 14 Februari, 2012: Malaysia mencatatkan pertambahan pendapatan perkapita tahunan sebanyak RM28,000 pada tahun lalu hasil daripada usaha kerajaan meningkatkan latihan serta kemahiran melibatkan guna tenaga dalam sektor perindustrian di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pertambahan itu merupakan antara salah satu petunjuk positif yang dicapai negara menerusi usaha berkenaan berbanding tempoh 41 tahun lalu yang hanya mencatatkan pendapatan perkapita sebanyak RM1,159 setahun.

Beliau berkata, negara ketika ini amat memerlukan guna tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan serta teknikal dalam pelbagai sektor berikutan perubahan yang sentiasa berlaku dalam industri dan teknologi pada hari ini.

"Berdasarkan statistik, sedar atau tidak sedar, pendapatan perkapita Malaysia pada tahun 70-an hanya RM1,159 iaitu kira-kira AS$376 setahun. Namun, pada akhir tahun 2011, pendapatan perkapita dicatatkan melebihi RM28,000 iaitu kira-kira AS$9,000.

"Petanda ini jelas menunjukkan bahawa usaha pertumbuhan yang kita telah capai pada hari ini melalui latihan serta pendidikan guna tenaga yang dilaksanakan sebelum ini bagi mencapai potensi kemajuan negara agar terus relevan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis graduasi para pelajar diploma lanjutan serta sijil kemahiran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusinya, Tham Wai Keong.

Terdahulu, Nor Mohamed turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara SHRDC bersama enam buah syarikat kejuruteraan antaranya Marvell Semiconductor Sdn. Bhd. dan Spansion (Penang) Sdn. Bhd.

Empat lagi syarikat ialah Agilent Technologies Microwave Products (M) Sdn. Bhd.; Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd.; Technip Geoproduction (M) Sdn. Bhd. dan Rohde & Schwarz (M) Sdn. Bhd.

MoU tersebut dapat membentuk kerjasama di antara SHRDC dengan syarikat-syarikat berkenaan dalam bidang latihan di bawah program HIT-RSE (High Income Talent-Research Scientist Engineer) khusus bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknologi elektronik dan elektrik, minyak dan gas serta telekomunikasi.

Dalam pada itu, Nor Mohamed turut menyatakan menerusi usaha memberi latihan kemahiran dan industri, ia merupakan kunci utama kepada negara untuk melahirkan lebih banyak potensi ke arah kemajuan selaras dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Malaysia ketika ini sedang menjurus ke arah negara maju menjelang 2020 yang mana sasaran pendapatan perkapita ialah RM50,000 setahun. Dengan adanya latihan, ia merupakan kunci utama bagi memastikan matlamat negara terus relevan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment