My Add

Wednesday 15 February 2012

Produk farmaseutikal luar negara wajib mempunyai lesen GMP

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Berkuatkuasa Julai ini, semua produk farmaseutikal keluaran negara bukan ahli Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmaseutikal (PICS) diwajibkan mempunyai lesen Amalan Pengeluaran Yang Baik (GMP) sebelum dieksport ke Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengesahan itu bertujuan memastikan produk farmaseutikal yang diimport ke negara ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan PICS sekali gus selamat digunakan orang ramai.

“Sebagai usaha mempromosikan industri farmasi tempatan serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia, kementerian hanya membenarkan produk farmaseutikal dari negara yang berdaftar dengan PICS dibenarkan masuk ke negara ini.

“Namun jika negara pengeluar bukan ahli PICS, pemeriksaan lesen GMT akan dilakukan bagi memastikan ia benar-benar selamat untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku Fakta Industri oleh Persatuan Farmaseutikal Malaysia (Phama) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A. Rahmah; Pegawai Teknikal Khas Kementerian, Dr. Paa Mohamed Nasir Abdul Rahman serta Presiden Phama, Ewe Kheng Huat.

Tiong Lai berkata, pihak industri mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan bagi mengamalkan peraturan tersebut sebelum ia berkuat kuasa Julai ini.

“Malaysia menjadi ahli PICS sejak 2002 dan sehingga kini sebanyak 35 negara lain seluruh dunia juga telah menjadi ahli PICS termasuk negara Eropah dan Singapura,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai jangkitan Rotavirus di kawasan Batang Padang dan Hilir Perak di Perak, beliau menjelaskan, sembilan sampel air yang diuji oleh kementerian serta Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati ia bebas dari virus berkenaan.

“Sembilan sampel tersebut dianalisis daripada 24 sampel air yang diambil di beberapa tempat yang dikenal pasti lokasi tercemar virus berkenaan,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment