My Add

Saturday 4 February 2012

Malaysia negara Islam termaju


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan pengunjung pasar minggu ketika melawat dan bertemu peniaga pasar itu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam. - bernama

Oleh RADHUAN HUSSAIN
KUALA TERENGGANU, SABTU, 04 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Malaysia mampu mencapai status negara Islam pertama berada dalam kelompok negara maju menjelang 2020.

Menurut Perdana Menteri, ia berlandaskan dasar serta pelaksanaan pembangunan yang berkesan dalam usaha membangunkan negara serta rakyat yang terus dipacu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Impian kita dalam lapan tahun lagi Malaysia akan dimartabatkan sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. (Malaysia) sebagai negara Islam pertama di dunia yang mampu mencapai taraf negara maju," katanya.

Najib berucap seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman di sini, semalam

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hampir 10,000 orang dari segenap lapisan masyarakat menghadiri program tersebut termasuk mereka yang menerima baucar BR1M yang diserahkan oleh Perdana Menteri.

Menurutnya, sejak negara merdeka sehingga sekarang, kerajaan tidak putus-putus menjaga kebajikan rakyat termasuk melaksanakan pembangunan luar bandar, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Jelas Perdana Menteri, kesemua program kebajikan yang sentiasa diberi penekanan dan keutamaan oleh kerajaan BN adalah selaras dengan tuntutan Islam yang menyeru kepada kebajikan.

Beliau menjelaskan, Malaysia mempunyai kelebihan dan dikagumi dunia kerana masih berkemampuan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peningkatan kadar gaji dan pencen kepada penjawat awam ketika negara lain dilanda kemelut ekonomi.

"Di Eropah termasuk Greece yang suatu ketika dulu merupakan pusat tamadun dunia, hari ini keadaan ekonominya kucar-kacir dan kemungkinan negara itu serta rakyatnya akan hadapi kesukaran dalam satu dekad lagi.

"Ada negara lain, peruntukan dikurangkan dan begitu juga gaji serta pencen turut dikurangkan. Berbeza dengan Malaysia, peruntukan untuk rakyat akan terus bertambah," ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberi pelbagai subsidi selain peruntukan perbelanjaan berjumlah RM22 bilion setahun termasuk pemberian BR1M untuk rakyat dan memberi jaminan peruntukan untuk itu akan ditambah lagi pada masa akan datang.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat bahawa kerajaan akan sentiasa berlaku adil seperti mana yang dituntut dalam Islam dan pendapatan negara semakin bertambah disebabkan negara diurus dengan baik dan islamik.

"Kita mesti ikut Islam walaupun nama (BN atau UMNO) bukan ikut Islam, tapi pengisiannya lebih Islamik daripada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment