My Add

Monday 6 February 2012

Maulidur Rasul Kg. Gedong dirai besar-besaran


KONTINJEN dari Surau Nurul Hidayah berselawat berarak mengelilingi 10 buah kampung dan melintasi pintu gerbang sempena Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Gedong, Samarahan, Sarawak, semalam.

SAMARAHAN, AHAD 06 Februari, 2012: Masyarakat di Kampung Gedong, Simunjan di sini hari ini meneruskan tradisi sejak 16 tahun lalu dengan meraikan sambutan Maulidur Rasul secara besar-besaran.

Sambutannya bermula sejak lima hari lalu dengan pengisian pertandingan antaranya tilawah al-Quran, zikir, rawi dan nasyid antara wakil surau-surau di kampung berdekatan.

Lebih unik, setiap surau berkenaan turut menyertai pertandingan membina pintu gerbang yang didirikan di pekarangan atau di hadapan premis masing-masing.

Ia dihias indah dengan lampu berwarna-warni serta ayat-ayat al-Quran yang menepati tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Turut memeriahkan suasana ialah amalan pemasangan bendera menggunakan kain batik lepas ataupun selendang putih sebagai simbolik meraikan perayaan besar pada setiap rumah di kawasan perkampungan yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk itu.

Kemuncak sambutannya ialah perarakan kira-kira 1,500 peserta mewakili 13 kontinjen mengikut surau masing-masing bermula pukul 6.55 pagi ini sejauh lima kilometer (km) melintasi 11 buah pintu gerbang.

Kontinjen yang mengambil bahagian ialah Masjid Balkis, Surau Assyakirin, Surau Darul Madinah, Surau Nurul Islam, Surau Darul Islam, Surau Assobirin, Surau Nur Addin, Surau Nurul Hidayah, Surau Darul Ibadah, Surau Ta'ibin, Surau Al-Muttakin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir.

Perarakan berkenaan diketuai oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Menteri Muda Perancangan Sumber negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Datuk Mohd. Naroden Majais yang menjadi pencetus idea sambutan besar-besaran itu.

Menariknya, setiap kontinjen yang disertai antara 80 hingga 120 orang peserta berkenaan memakai pakaian yang seragam dengan tema warna tersendiri.

Di setiap pintu gerbang pula, peserta perarakan akan disambut oleh imam dan wakil surau selain dijamu dengan kuih muih dan minuman atau dibekalkan dengan bungkusan makanan ringan sebagai penambah tenaga sebelum meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Mohd. Naroden yang merupakan anak jati Kampung Gedong berkata, sambutan berkenaan bermula secara sederhana 16 tahun lalu dan dikelolakan oleh sebuah jawatankuasa tetap.

Bagaimanapun katanya, selepas itu terdapat permintaan daripada penduduk supaya hak penganjuran digilirkan dalam kalangan 10 buah kampung kecil di Kampung Gedong.

"Selepas digilirkan hak penganjuran, ia menjadi semakin meriah apabila setiap kampung berusaha membuktikan kemampuan mereka sebagai penganjur kerana mereka perlu menunggu 10 tahun lagi untuk berbuat demikian.

"Melaluinya juga, kita dapat melatih pemimpin pelapis di kampung ini supaya pengalaman menganjurkan acara dalam skala yang besar dapat diwariskan kepada generasi baharu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ditanya rahsia di sebalik kejayaan majlis sambutan yang unik itu, beliau berkata, ia adalah hasil perpaduan yang utuh dalam kalangan penduduk Kampung Gedong yang sukar ditandingi.

No comments:

Post a Comment