My Add

Thursday 16 February 2012

MB akui rampas tanah, dakwa KHSB langgar syarat

SHAH ALAM, RABU, 15 Februari, 2012: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengakui pihaknya telah membuat keputusan merampas tanah seluas 234 hektar milik Kumpulan Hartanah Selangor Bhd. (KHSB) kerana syarikat tersebut didapati telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tanah di Lot 72916, Mukim Batu, Daerah Gombak yang diletakkan di bawah anak syarikat KHSB, SAP Holdings Bhd dengan nilai mencecah RM250 juta itu tidak pernah ditukar status daripada tujuan asalnya iaitu pertanian.

‘‘Kerajaan negeri telah membuat kesimpulan bahawa banyak orang yang diberikan tanah tapi tidak mengikut syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

‘‘Contohnya, jika tanah itu untuk tujuan pertanian, ia harus diusahakan untuk tujuan pertanian. Kalau untuk usahakan pembangunan, maka pemiliknya harus menukarkannya terlebih dahulu statusnya daripada pertanian kepada pembangunan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa KHSB kehilangan tanah bernilai RM250 juta akibat tindakan kerajaan negeri merampas tanah tersebut pada Ogos lalu.

Berdasarkan laporan akhbar itu, tanah berkenaan yang dipajakkan oleh kerajaan negeri kepada KHSB sepatutnya tamat pada 25 Jun 2090.

Laporan itu turut memetik Pengerusi KHSB, Raja Idris Raja Kamaruddin sebagai berkata, alasan kerajaan negeri merampas tanah berkenaan adalah kerana terdapat aktiviti kuari dilakukan secara haram.

Abdul Khalid berkata, meskipun KHSB merupakan syarikat di bawah kerajaan negeri, ia tidak bermakna pihaknya tidak boleh mengambil tindakan sedemikian.

Malah katanya, kerajaan negeri difahamkan aktiviti kuari yang dijalankan di atas tanah itu juga tidak mempunyai sebarang lesen atau kelulusan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment