My Add

Thursday 16 February 2012

10 NGO lancar kempen menutup aurat

SEBAHAGIAN remaja wanita membawa sepanduk semasa mengadakan kempen menutup aurat di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS, RABU, 15 Februari, 2012: Ketika banyak pihak menyambut 14 Februari sebagai Hari Kekasih, gabungan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pulau Pinang pula menjadikan tarikh itu sebagai Hari Kempen Menutup Aurat Antarabangsa.

NGO yang terlibat ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aktivis Pengupayaan Insan (API), Pertubuhan Ikram Pulau Pinang, Pertubuhan ISMA Pulau Pinang dan Kelab Remaja Lestari (KRL).

Turut serta Komuniti Suara Kehidupan, Nisa' Pulau Pinang, Kariah Masjid At Taqwa, Bertam, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cawangan Pulau Pinang dan Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas).

Selain di Malaysia, kempen sama turut diadakan di Thailand, Macau, Hong Kong, Indonesia dan England yang memfokuskan kepada usaha menarik minat masyarakat umum supaya menutup aurat dan menjaga pergaulan di kalangan umat Islam.

Menurut wakil NGO terbabit, Mardziah Zakaria, objektif utama kempen itu adalah mewujudkan remaja yang beradab mulia, berakhlak murni dan berketrampilan sebagai remaja Muslim.

"Kita telah mulakan kempen ini dengan program turun padang di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pantai Bersih dan Queensbay Mall malam Ahad lalu dengan mengadakan aktiviti penyampaian tudung percuma kepada remaja perempuan.

"Kita bersyukur mendapat sambutan menggalakkan daripada remaja dan ramai yang menyambut baik kempen kami," katanya yang juga Ketua Hal Ehwal Wanita Masjid At Taqwa pada sidang akhbar di sini, semalam.

Tambahnya, kempen serupa juga akan diteruskan menerusi laman sosial Facebook kerana ia lebih dekat di hati remaja.

Malah jelasnya, menerusi laman sosial itu, semua aktiviti NGO terbabit di setiap negara dapat dikongsi bagi penghayatan bersama dan berkongsi maklumat mengenai kempen terbabit.

"Sejak seminggu dilancarkan, hampir 1,000 remaja telah menyertai kami. Kempen ini bukan sekadar dijalankan pada tarikh 14 Februari sahaja malah akan diteruskan setiap masa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment