My Add

Sunday 12 February 2012

MoU Malaysia-Indonesia petanda baik

BAGAN DATOH, SABTU, 11 Februari, 2012: Kerajaan yakin memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Indonesia baru-baru ini memberi petanda positif dalam penyelesaian isu-isu di kawasan perairan yang menjadi tuntutan dua negara berjiran itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MoU itu mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara bagi menangani ketegangan yang sering timbul khususnya melibatkan pencerobohan nelayan kedua-dua negara.

"Kita berterima kasih kepada Indonesia yang bersetuju menyelesaikan masalah kemasukan nelayan-nelayan ke kawasan yang menjadi pertikaian di sempadan perairan.

"Keputusan sudah dicapai apabila ada nelayan yang ditangkap kerana memasuki perairan Indonesia, mereka akan diiringi keluar untuk masuk semula ke perairan Malaysia, begitu juga sebaliknya," katanya ketika mengadakan lawatan di Surau Tanjung Bayan, dekat sini semalam.

Malaysia dan Indonesia telah memeterai MoU pada 27 Januari lalu bagi membantu menyelesaikan beberapa isu yang sering timbul di kawasan perairan yang menjadi tuntutan dua negara berjiran itu.

MoU itu ditandatangani Ketua Pelaksana Harian Badan Koordinasi Keamanan Laut, Laksamana Madya Y. Didik Heru Purnomo yang mewakili Indonesia manakala Malaysia diwakili Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab.

Ahmad Zahid berkata, komitmen kedua-dua negara mencerminkan semangat kerjasama yang mendasari hubungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Beliau menarik perhatian masalah yang berlaku di perairan Selat Melaka baru-baru ini apabila sebuah kapal nelayan daripada Pulau Pangkor telah ditembak oleh penguat kuasa Indonesia tetapi ia kemudian diselesaikan secara baik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment