My Add

Friday 3 February 2012

Naik elaun Setiausaha JKKK, JKKKP dipertimbang

SHAFIE Apdal berjabat tangan sambil beramah mesra dengan ketua kampung pada Program Sehari Bersama Ketua Kampung Peringkat Negeri Perak di Gopeng, semalam.

GOPENG, JUMAAT, 03 Febeuari, 2012: Kerajaan akan mempertimbangkan tuntutan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKKP) supaya elaun bulanan RM200 yang dinikmati sekarang dinaikkan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bagaimanapun, buat masa ini, kerajaan belum mampu memenuhi tuntutan tersebut kerana faktor kegawatan ekonomi.

"Dalam keadaan kegawatan sekarang, kita tidak mampu walaupun ada tuntutan daripada mereka.

"Apa yang penting, kerajaan telah melonjakkan institusi JKKK dan implikasinya cukup besar. Kerajaan memperuntukkan RM345 juta setahun bagi membayar elaun hampir 15,000 JKKK dan JKKKP di seluruh negara," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Program Sehari Bersama Ketua Kampung Peringkat Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.

Pada tahun lepas, kerajaan menaikkan elaun bulanan Pengerusi JKKK dan JKKKP, Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 hingga RM850 sebulan berbanding RM450 sebelum itu.

Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua ahli jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50.

Mengulas pertemuan dengan ketua-ketua kampung itu, Mohd. Shafie berkata, amat penting bagi mereka mendapat maklumat dan penjelasan mengenai dasar serta peluang yang disediakan oleh kerajaan supaya dapat dikongsi dengan penduduk di tempat masing-masing.

Katanya, pada program hari ini, mereka diperjelaskan tentang usaha kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi desa serta peluang yang disediakan di RTC.

"RTC amat penting sebagai satu pusat yang akan dipadatkan dengan pelbagai kegiatan supaya usaha untuk membantu melonjakkan ekonomi luar bandar dapat dilaksanakan.

"Dalam hal ini, JKKK memainkan peranan penting untuk memperjelaskan kepada rakyat tentang dasar serta pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan di RTC," ujarnya.

Menurut beliau, projek perintis RTC yang akan dijalankan di Terminal Agribisnes Negara (Teman) di sini membuka peluang untuk masyarakat desa menceburi pelbagai bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi.

"Kita mahu lonjakkan pendapatan penduduk kampung dari antara RM500 dan RM600 sebulan sehingga RM30,000 sebulan," tambah Mohd. Shafie. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment