My Add

Thursday 16 February 2012

OIC sokong penyelesaian secara aman krisis Syria

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Sekretariat Am Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperbaharui pendiriannya bagi mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis di Syria. 

Dalam satu kenyataan hari ini, OIC menyatakan pertubuhan itu mengulangi gesaan supaya kerajaan Syria menghentikan pertumpahan darah rakyat yang tidak bersalah dan memenuhi desakan bagi melaksanakan demokrasi, menghormati hak asasi manusia dan tadbir urus baik ke atas rakyat Syria.

Sekretariat Am itu turut menyatakan sokongan terhadap resolusi Liga Arab, yang diratifikasi di Kaherah pada 12 Februari lalu.

Liga Arab menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi bagi penubuhan pasukan pengaman PBB-Arab untuk dihantar ke Syria dan menggesa tawaran semua bentuk 'sokongan politik dan barangan' untuk pembangkang di Syria. 

Sekretariat Am itu juga menegaskan badan itu mahu meneruskan rundingan dan kerjasama dengan Liga Arab dan PBB untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis di Syria. 

Laporan itu menyatakan konflik yang sedang berlaku menjejaskan kehidupan di Syria yang mengakibatkan ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka dan berlindung di negara jiran, dengan kira-kira 3,000 pelarian mendapatkan perlindungan di Jordan. 

Lebih 6,000 orang terbunuh sejak pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad mula mengambil tindakan kejam ke atas penunjuk perasaan yang mendesak pelaksanaan demokrasi pada Mac, menurut beberapa kumpulan yang memantau keadaan di negara itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment