My Add

Thursday 16 February 2012

BNM jelaskan status dagangan mata wang asing

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan kepada orang ramai bahawa membeli dan menjual mata wang asing di Malaysia hanya dibenarkan kepada bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan dan bank Islam antarabangsa berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953, dan dengan penyedia perniagaan perkhidmatan wang (pengurup wang) berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011. 

Sebagai tambahan, produk kewangan yang berlandaskan syariah, yang termasuk urus niaga berkaitan pertukaran asing yang ditawarkan dan diurusniagakan institusi kewangan Islam berlesen adalah diluluskan Jawatankuasa Syariah institusi kewangan masing-masing dengan mendapat pengesahan daripada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.

Penjelasan itu dikeluarkan berikutan satu laporan semalam bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing melalui Internet.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata ini kerana perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing seperti itu tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam. 

Bagaimana pun, katanya, dagangan bentuk lain pertukaran wang asing, seperti melalui pengurup wang atau dari bank ke bank dibenarkan, kerana ia tidak menimbulkan spekulasi mata wang atau untung rugi yang tidak menentu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment