My Add

Tuesday 14 February 2012

OKU perlu ikon - Bakti

ROSMAH Mansor bersama anggota Bakti beramah mesra dengan Mohammad Muzamil Mohammad Noor di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR. ISNIN, 13 Februari, 2012: Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) mahu menjadikan Pensyarah Sejarah Pemikiran Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohammad Muzamil Mohammad Noor sebagai ikon kepada orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor kagum dengan usaha gigih pensyarah tersebut yang merupakan satu-satunya bekas pelajar tajaan badan itu berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri berkata, sebelum ini, Bakti banyak menaja OKU menyambung pelajaran namun hampir semua mereka berhenti menimba ilmu setelah mendapat Ijazah Sarjana Muda.

''Kerana itu, Bakti berharap Dr. Mohammad Muzamil dapat menjadi contoh kepada golongan OKU kerana walaupun dia bukan seperti insan lain tetapi keistimewaannya itu telah menepis pandangan umum terhadap golongan OKU, kerana itu kita amat bangga dengannya.

''Menarik perhatian kita juga apabila Dr. Mohammad Muzamil menyatakan kesediaannya untuk membantu Bakti dalam apa sahaja perkara walaupun kita tahu kepakarannya dalam Sejarah Politik Antarabangsa tetapi pemikirannya cukup meluas dan kita yakin beliau dapat berjasa kepada anak bangsa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rosmah seterusnya mengingatkan orang ramai khususnya di kalangan OKU agar jangan menjadikan kekurangan pada diri sebagai penghalang untuk berjaya.

Beliau berkata, kekurangan yang ada itu tidak boleh luntur tetapi harus digilap dengan keazaman dan semangat yang tinggi serta meletakkan sasaran untuk membantu negara, agama dan bangsa pada masa depan.

Sehubungan itu, Bakti tidak putus-putus memberikan bantuan kepada golongan OKU dalam pelbagai bentuk keperluan, dengan harapan mereka dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat golongan berkenaan hidup berdikari mencari rezeki tanpa mengharap ihsan masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Kebajikan Bakti, Toh Puan Dr. Aishah Ong memberitahu tajaan pengajian khusus kepada golongan OKU akan diteruskan dan setiap permohonan dipertimbangkan dengan mengambil kira faktor keperluan sebenar seseorang OKU itu.

'Kebiasaannya kita berikan bantuan daripada aspek peralatan yang diperlukan oleh OKU agar memudahkan mereka untuk bergerak dan belajar contohnya kerusi roda, komputer bersuara dan braille selain aspek kewangan,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment