My Add

Tuesday 14 February 2012

FGVH dijangka lonjak RM21b



AHMAD Maslan bersama kepimpinan rancangan Felda melaungkan sokongan terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings ke Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Nilai modal pasaran Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dijangka melonjak kepada RM21 bilion apabila syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada 10 Mei depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding nilai modal pasaran FGVH sebanyak RM3 bilion pada masa ini.

Menurut beliau, sebanyak 37 peratus saham syarikat itu bakal dimiliki oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) manakala bakinya diperuntukkan mengikut formula tertentu kepada syarikat milik kerajaan (GLC) terpilih dan beberapa pelabur dari luar negara.

“Sebelum penyenaraian, KPF memiliki sebanyak 51 peratus daripada pegangan FGVH. Namun, pegangan 37 peratus daripada RM21 bilion sudah tentu jauh lebih besar berbanding 51 peratus daripada RM3 bilion.

“Selain itu, pegangan GLC dalam FGVH membolehkan rakyat turut menikmati keuntungan yang dihasilkan manakala syarikat tersebut perlu ada satu atau dua pelabur asing agar lebih mudah melebarkan sayapnya ke luar negara,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan kepimpinan 317 tanah rancangan Felda di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Suhaimi Zainuddin; Timbalan Pengarah Besar Felda (Pembangunan Komuniti), Faizoull Ahmad dan disertai kira-kira 1,300 ketua peneroka, ketua persatuan belia, pengurus rancangan dan pegawai kanan Felda dari seluruh negara.

Kata Ahmad, Felda Asset Holding Company (FAHC) yang bertindak selaku syarikat pemegang pelaburan telah ditubuhkan baru-baru ini bagi memastikan kepentingan KPF dalam FGVH tidak dijual dengan sewenang-wenangnya kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Lembaga Pengarah FAHC bakal dianggotai wakil dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Felda, FGVH dan KPF.

“Ingin diperjelaskan, FAHC hanya memiliki kuasa mengundi. KPF pula menerima semua keuntungan daripada pegangan sahamnya dalam FGVH,” katanya.

Ahmad berkata, cadangan berkaitan pegangan saham dalam FGVH dan penubuhan FAHC akan dibentangkan dalam mesyuarat agung KPF pada 22 Februari ini.

“Saya yakin KPF menyambut baik cadangan tersebut setelah mendengar penjelasan tentang penyenaraian FGVH secara terperinci dalam majlis perjumpaan ini,” katanya.

Ketika berucap pada majlis sama, Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO turut membuang Buku Jingga yang mengandungi manifesto pakatan pembangkang ke dalam tong sampah sebagai simbolik membantah fakta tidak tepat berkaitan Felda di dalam buku itu.

Sementara itu, di Pontian, Ahmad berkata, Barisan Nasional (BN) bukan sebuah parti politik perkauman, sebaliknya bergerak dalam sebuah kumpulan yang mewakili 13 parti dengan pelbagai kaum.

Sebaliknya, kata Ahmad, parti dalam pakatan pembangkang lebih perkauman walaupun mereka mendakwa mewakili kaum lain tetapi ia dalam bilangan yang kecil.

“BN bukan bergerak atas tiket UMNO sahaja tetapi parti komponen yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP serta parti lain di Sabah dan Sarawak berbanding parti pembangkang,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment