My Add

Thursday 16 February 2012

Orang Cina diminta jangan terpedaya janji DAP

JOHOR BAHRU, RABU, 15 Februari, 2012: Masyarakat Cina diminta supaya tidak terpedaya dengan janji manis, dakwaan demi dakwaan dan propaganda yang disebarkan pembangkang terutama DAP yang baru-baru ini mengisytiharkan Johor sebagai 'barisan depan' keutamaan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, DAP tidak seperti dulu kerana sering mengalah kepada Pas walaupun memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu dan terbaru Pas juga telah menetapkan seorang Ahli Parlimen dari Kelantan untuk menjadi calon Menteri Besar jika pakatan pembangkang menawan Johor.

Jelas beliau, perkara itu dapat dilihat di Kedah dan Perak yang mana DAP mendapat banyak kerusi, tetapi Menteri Besar adalah dari Pas.

"Jika Pas berkuasa, projek besar seperi Iskandar Malaysia juga berisiko untuk gagal dan pembangunan akan terbantut termasuklah kemasukan pelaburan dan pelancong asing. Ini kerana Pas suka mengenakan nilai mereka bukan saja kepada orang Islam, tetapi juga bukan Islam, contohnya memaksa kerajaan haramkan iklan berkaitan 'Valentine Day'.

"Kerajaan Barisan Nasional memang tidak sempurna tetapi komited dalam melakukan pelbagai transformasi baik dari segi politik, pendidikan dan ekonomi. Malah kadar jenayah juga menurun," katanya kepada pemberita sebelum menyertai Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam sambutan Tahun Baru Cina MCA negeri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze di sini semalam.

Sambutan penuh meriah itu turut memberi kejutan kepada hadirin dari kalangan wanita yang menerima sekuntum bunga mawar sebagai tanda sambutan Hari Kekasih.

Sementara itu, Soi Lek turut menyatakan bahawa kerajaan akan melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan kutipan tol Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan persetujuan.

Katanya lagi, MCA menentang idea mengenakan bayaran tol kepada mereka yang tidak menggunakan lebuh raya sepanjang 8.1 kilometer yang menyambungkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar itu.

Beliau pada masa sama turut menyeru Kerajaan Negeri Selangor agar menjadikan Johor sebagi contoh kerana menyediakan tanah untuk membina sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) demi kepentingan pendidikan anak-anak dan bukan kepentingan politik.

Soi Lek sebelum itu menyatakan terima kasih kepada Abdul Ghani kerana memperuntukkan tanah seluas dua hektar di Permas Jaya untuk pembinaan sebuah SJKC bagi menampung pertambahan bilangan pelajar di kawasan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment