My Add

Tuesday 7 February 2012

Pas bakal berdepan masalah besar

KUALA LUMPUR, SELAS, 07 Februari, 2012: Pas bakal berdepan masalah besar jika terus membiarkan 'parasit' yang wujud dalam parti itu menentukan agenda parti terutama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, kata bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin, 'parasit' itu akan membawa Pas jauh daripada agenda perjuangan sebenar iaitu untuk memperjuangkan Islam.

''Sejauh mana pengaruh parasit ini akan menular dalam Pas dan memusnahkannya bergantung kepada sejauh mana kepimpinan Pas sanggup membiarkan asas penubuhan dan perjuangan parti itu dikompromi bagi tujuan menubuhkan kerajaan alternatif menggantikan Barisan Nasional (BN)," katanya di sini, semalam.

Beliau memberikan reaksi demikian kepada dakwaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali bahawa terdapat 'parasit' dalam Pas yang sanggup mengorbankan dasar parti itu semata-mata untuk mendapat sokongan PKR dan DAP.

Mohd. Roslan menambah, kewujudan parasit di dalam Pas bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, masalah itu dapat dilihat dari dahulu lagi apabila parti itu dilanda arus pembaharuan bersifat liberal dengan kewujudan kumpulan yang dilabel sebagai Anwarinas dan Erdogan.

Ia, kata beliau, diperkukuhkan lagi dengan perubahan manifesto Pas yang kini memperjuangkan 'Negara Berkebajikan' sekali gus mengetepikan agenda menubuhkan sebuah kerajaan Islam.

Dalam perkembangan sama, pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung berkata, kewujudan 'parasit' di dalam Pas semakin menonjol berikutan rasa taksub dan keyakinan tinggi segelintir ahlinya bahawa pembangkang mampu menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Ketaksuban untuk berkuasa itu kata beliau, menyebabkan Pas melupakan ideologi dan dasar asal parti itu serta sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment