My Add

Tuesday 7 February 2012

UMNO Baling bantu pelajar sambung pengajian peringkat PhD

ABDUL Azeez Abdul Rahim (empat dari kiri) menyampaikan cek RM5,000 kepada Nurliyana (tiga dari kiri) di Kampung Charuk Semeliang, Baling, semalam.

BALING, SELASA, 07 Februari, 2012: UMNO Bahagian Baling membantu seorang anak muda, Nurliyana Mohd. Yusoff, 23, menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Nurliyana dari Kampung Charuk Semeliang, mukim Siong dan juga graduan ijazah Ekonomi UUM, meraih pencapaian membanggakan kerana menjadi antara pelajar termuda yang dipilih mengikuti PhD dalam bidang sama.

Anak kepada pesara tentera itu amat gembira dengan tawaran pengajian PhD tersebut kerana tidak menyangka diterima melanjutkan pelajaran ke peringkat tersebut dalam usia seperti itu.

Beliau bagaimanapun menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan impiannya.

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetahui masalah tersebut tampil menghulurkan bantuan dengan meluluskan bantuan segera sebanyak RM5,000 bagi membolehkan Nurliyana membuat pendaftaran dan bayaran yuran.

Nurliyana anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Mohd. Yusoff Hussin, 49, dan Norsiha Amir, 48, terharu atas keprihatinan UMNO khususnya Abdul Azeez membantunya.

"Saya gembira menerima sumbangan ini dan berharap dapat meneruskan pengajian tidak lama lagi," katanya selepas menerima cek di rumahnya, di sini, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Agama Yan dan Sekolah Agama Baling yang bercita-cita menjadi penganalisis ekonomi terkenal itu berkata, semangatnya untuk menyambung pengajian amat tinggi dan sumbangan tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk membawa pulang kejayaan suatu hari nanti.

Menariknya, sepanjang menjadi penganggur selama lebih tujuh bulan selepas mendapat ijazah, Nurliyana membantu anak-anak kampungnya dengan memberi tuisyen secara percuma.

Dia mengajar subjek Matematik dan Sains untuk pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Abdul Azeez berkata, pihaknya akan membantu Nurliyana mencapai impiannya membawa pulang PhD tersebut kerana ia menjadi kebanggaan kepada masyarakat di daerah itu.

"Kejayaan Nurliyana ini boleh memberi semangat kepada pelajar kampung lain untuk mencontohi anak kampung lain," katanya.

Beliau berkata, dalam usia muda dan tinggal di kampung, ia bukan penghalang untuk seseorang berjaya dalam pelajaran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment