My Add

Saturday 25 February 2012

Pas Kedah kini kelam-kabut

SUNGAI PETANI, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan Kerajaan Pas Kedah kini berhadapan dengan situasi kelam-kabut dan dilanda krisis kepimpinan yang serius berikutan perbezaan pendapat dalam Pas berhubung pelantikan semula anggota Exco.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, tindakan empat orang Exco yang enggan menerima semula jawatan menunjukkan wujud pertembungan pendapat yang agak ketara dalam Pas.

“Itu menunjukkan memang ada masalah kepimpinan dalam Pas. Malah kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sendiri yang menyatakan ada suatu kejutan yang bakal berlaku menyerlahkan lagi wujud pergolakan dan ia benar-benar serius.

“Kita dapat saksikan kini ada wujud puak-puak yang pelbagai dalam Pas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada 250 pelajar cemerlang peringkat Parlimen Sungai Petani di Tikam Batu, dekat sini hari ini.

Ahmad Bashah mengulas perkembangan terbaru yang berlaku dalam kepimpinan kerajaan negeri dan Pas apabila sekurang-kurangnya empat Exco parti itu dikatakan enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari ini.

Menurut Ahmad Bashah, pergolakan yang sentiasa wujud itu sebenarnya merugikan rakyat Kedah kerana kerajaan negeri tidak dapat memberi tumpuan menyelesaikan masalah rakyat dan juga merancang program-program pembangunan.

“Mereka memang bergaduh dari awal-awal lagi, sebab itu kita nampak tak ada pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berharap rakyat negeri ini dapat menilai secara matang betapa Pas sudah tidak boleh diyakini lagi dalam mentadbir dan menyelesaikan masalah penduduk. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment