My Add

Tuesday 21 February 2012

Patuhi setiap arahan ketika bertugas - KP Penjara

Oleh Mohd. Shariza Abdullah

KUBANG PASU, ISNIN, 20 Februari, 2012: Semua kakitangan penjara diingatkan sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan ketika menjalankan tugas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar berkata, kakitangan jabatan itu perlu mengambil pengajaran dengan kejadian kebakaran besar penjara sesak di Honduras beberapa hari lalu yang mengakibatkan lebih 350 banduan terbunuh.

''Operasi sesebuah penjara bergantung kepada arahan-arahan. Jika kakitangan bertugas mematuhi arahan dengan betul dan tidak leka, maka Insya-Allah insiden ini tidak akan berlaku,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Jabatan Penjara (Zon Utara 2) yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim di Institut Aminuddin Baki, Jitra di sini hari ini.

Pada pertengahan bulan ini, satu kebakaran besar berlaku di penjara sesak di Honduras menyebabkan ratusan banduan terbunuh, kebanyakannya kerana terperangkap di dalam tahanan.

Sekurang-kurangnya 357 orang terbunuh dalam kebakaran itu di penjara Comayagua, kira-kira 75 kilometer ke utara ibu negara Tegucigalpa.

Zulkifli berkata, selain mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP), Jabatan Penjara turut menekankan penjagaan hak asasi manusia, layanan dan mempraktikkan penahanan selamat sekali gus menjadikan banduan lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan.

Katanya, kakitangan jabatan berkenaan turut dipersiapkan dengan pelbagai ilmu seperti latihan kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam sebagai persediaaan menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku di dalam penjara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment