My Add

Saturday 11 February 2012

PDRM sedia beri kerjasama penuh sahkan kematian militan

GEORGETOWN, SABTU, 11 Februari, 201: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Filipina bagi mendapatkan kepastian tentang tiga rakyat Malaysia yang didakwa terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf di Sulu, wilayah selatan negara itu, awal bulan ini. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pihak PDRM masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Filipina tentang status sebenar yang berlaku di situ.

Menurutnya, pihak berkuasa negara itu masih menghadapi kesukaran untuk mencari mayat-mayat yang terbunuh dan ujian DNA untuk mengesahkan identiti mayat masih tidak dapat dilakukan.

"Saya percaya pihak berkuasa Filipina sedang berusaha untuk mendapatkan sampel DNA mayat dan kami bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam apa jua perkara yang mereka minta," katanya selepas membuat lawatan kerja ke Pasar Pulau Tikus di sini, hari ini. 

Sebelum ini, tentera Filipina mengumumkan warga Malaysia, Zulkifli Abdul Hir@Marwan yang juga pemimpin kanan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyah Singapura adalah antara yang terbunuh dalam serangan tentera Filipina ke atas kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) itu. 

Dalam laporan baru-baru ini menyatakan pihak berkuasa Filipina masih gagal menemui mayat Zulkifli bersama dua anggota Darul Islam Sabah, Amin Bacho dan Jeknal Adil dan mereka yang berkemungkinan masih hidup dipercayai telah meninggalkan Pulau Jolo. 

Khalid yang tidak menolak kemungkinan mereka ini masih hidup, berkata segala persoalan akan terjawab apabila kerajaan Malaysia memperolehi keputusan DNA dari negara itu. 

Selain itu, ketika ditanyakan berkenaan rombakan besar-besaran yang dikatakan akan membabitkan anggota dan pegawai PDRM tahun ini, Khalid berkata, sepanjang pengetahuannya, pihak PDRM tidak merancang untuk membuat rombakan besar-besaran mahupun secara kecil-kecilan. 

"Sepanjang pengetahuan saya, tiada perancangan untuk membuat rombakan dalam pasukan PDRM, kalau ada pun itu pertukaran biasa dalam pasukan," katanya. 

Khalid yang dalam lawatan kerja ke Pulau Pinang hari ini, dijadualkan untuk merasmikan Karnival Rakan Cop Remaja anjuran PDRM Pulau Pinang bagi menarik minat golongan remaja untuk menyertai pasukan polis. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment