My Add

Sunday 19 February 2012

Penduduk Pokok Asam berang kerajaan DAP lepas tangan

GEORGETOWN: Kira-kira 200 penduduk Kampung Pokok Asam, Jelutong yang berdepan masalah pengusiran di sini berang apabila kerajaan negeri pimpinan DAP, terus mengambil sikap berdiam diri dalam menangani isu pengambilan tanah mereka bagi projek perumahan dan pembinaan tapak perkuburan. 

Pengerusi Persatuan Badan Bertindak Penduduk Jelutong, Zarus Yusof, berkata sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli itu ditunjukkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi apabila kedua-duanya langsung tidak pernah bersemuka dengan penduduk sejak isu pengambilan tanah itu mula dibangkitkan pada Oktober lalu.

Katanya, sudah berpucuk-pucuk surat jemputan untuk berdialog mengenai isu itu sudah dihantar kepada kedua-dua tokoh berkenaan namun semuanya tidak berjawab.

"Kami nak tanya pada mereka apa maksud perumahan awam yang hendak dibangunkan? Berapa harganya, siapa penghuninya?

" Mengapa tanah yang kami duduk sejak sekian lama ini hendak diambil sedangkan masih banyak tanah kosong lain berdekatan kawasan sini boleh dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama penduduk Kampung Pokok Asam bagi membincangkan isu pengambilan tanah penduduk di sini, hari ini. 

Zarus berkata, tambah membimbangkan penduduk di situ ialah mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang tetapi bersepakat menolak wang pampasan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah bernilai dari RM14,000 hingga RM180,000 untuk setiap pemilik tanah. 

"Sudah berpuluh tahun kami tinggal di sini, mana kami mahu pergi lagi. Tanah ini semua ada geran. Kami duduk secara sah, ini satu penganiayaan kepada penduduk," katanya. 

Tanah perkampungan berusia lebih 100 tahun seluas lebih satu hektar itu didakwa akan diambil alih oleh syarikat pemaju dari Kuala Lumpur bagi projek hartanah mewah dan perkuburan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment