My Add

Saturday 11 February 2012

Penggambaran Tangisan Pasir Salak bermula semalam

JAMAL Lulkhir Jaludin (kanan) bersama penduduk membacakan Yassin sempena memulakan penggambaran Tangisan Pasir Salak di Kampung Gajah, semalam.

PASIR SALAK, SABTU, 11 Februari, 2012: Selepas hampir setahun setengah menjalankan penyelidikan berkisarkan pahlawan Melayu di negeri ini, akhirnya produksi dokumentari Tangisan Pasir Salak memulakan penggambarannya semalam..

Dokumentari berdurasi selama 23 minit itu merupakan terbitan Syarikat Kay Promotion & Production House dengan kerjasama kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pengarahnya, Jamal Lulkhir Jaludin berkata, beberapa lokasi telah dipilih termasuk Kuala Kangsar, Taiping dan beberapa tempat di sekitar Kampung Gajah bagi menyiapkan dokumentari tersebut.

Katanya, penggambaran dokumentari itu dijangka mengambil masa sehingga penghujung bulan ini dan akan disiarkan di RTM pada Ogos depan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

"Saya mengambil masa hampir setengah tahun dengan menjelajah seluruh negara bagi mengesan waris-waris pahlawan dan penduduk asal kampung untuk mendapatkan maklumat dalam menyiapkan skrip ini.

"Malah, semasa melakukan kajian ini, saya turut dibantu oleh Penolong Kurator Kompleks Sejarah Pasir Salak, Mohd. Fauzi Mohd. Razali dalam memantau hasil penyelidikan yang kita lakukan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis tahlil dan bacaan Yassin sempena penggambaran itu di sini semalam.

Menurut Jamal, daripada penyelidikan secara lisan dan pembacaan yang dilakukannya, didapati banyak penemuan baru berkaitan Sejarah Pasir Salak ditemui.

Katanya, ternyata sejarah yang dibukukan oleh pihak penjajah selama ini amat jauh berbeza daripada cerita yang diperolehi hasil maklumat secara lisan.

"Syukur Alhamdulillah di sebalik pelbagai ujian yang dihadapi, akhirnya projek dokumentari ini berjaya direalisasikan.

"Malah saya cukup bertuah apabila dokumentari ini mendapat sentuhan mereka yang profesional dalam bidang ini termasuk Pengarah Fotografi, Nor Azam Mohd. Yusoff; Jurutera Bunyi, Helmi Hamren dan Juru Teknikal, Azlan Saat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment