My Add

Saturday 11 February 2012

42 rumah di tiga kampung rosak

BEBERAPA sukarelawan mengambil maklumat pemilik rumah yang terlibat dalam kejadian ribut di Kampung Padang Lallang Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

Oleh ANI AWANG

NIBONG TEBAL, SABTU, 11 Februari, 2012: Sebanyak 42 buah rumah daripada tiga kampung di daerah Seberang Perai Selatan di sini rosak selepas bumbungnya diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut malam tadi.

Kampung terlibat adalah Kampung Padang Lallang, Kampung Kepala Gajah dan Kampung Tasek.

Kejadian berlaku pada pukul 7.45 petang ketika penduduk menikmati makan malam, namun tiada tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya akan mengeluarkan bantuan segera bagi membolehkan mangsa membaiki bumbung rumah.

Katanya, mangsa terbabit telah membuat laporan polis dan mendaftar nama serta jumlah kerosakan.

"Kita bersyukur kerana kesemua mangsa tidak cedera. Hanya sebuah kereta Proton Wira remuk ditimpa pokok durian sebesar dua pemeluk dewasa.

"Selain bantuan itu, pihaknya akan meminta bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Luar Bandar dan Wilayah untuk membantu meringankan beban mangsa membaiki bumbung yang rosak itu," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melawat beberapa rumah terlibat di Kampung Balik Bukit dan Kampung Padang Lallang di sini.

Mangsa, Mohd. Bazri Zakaria, 37, berkata, dia berada di dalam rumahnya bersama-sama tiga anaknya berusia lima, 10 dan 12 tahun ketika kejadian pukul 7.45 petang.

"Saya mendengar angin bertiup kencang dan bumbung rumah saya seperti bergoncang. Dalam beberapa minit sahaja saya melihat bumbung rumah saya diterbangkan angin dan air hujan mencurah masuk ke dalam rumah," katanya.

Dia mendakwa mengalami kerugian lebih RM10,000 namun bersyukur kerana keluarganya terselamat dalam kejadian ribut tersebut.

Seorang lagi mangsa di Kampung Padang Lallang, Ahmad Fauzan Samsudin, 24, berkata, dia berada di dalam rumah apabila terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

"Saya sangka ia bunyi kilat tetapi terkejut apabila keluar dan mendapati sebatang pokok durian tumbang menghempap kereta Proton Wira yang diletakkan kira-kira 20 meter dari bengkel saya," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment