My Add

Monday 6 February 2012

Pengisytiharan Bandar Diraja tepat pada masanya

MUAR, AHAD 06 Februari, 2012: Kerajaan negeri menyifatkan pengisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini sebagai tepat pada masanya kerana ia merupakan antara bandar terulung dan tertua di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Muar telah wujud sebelum merdeka dan bangunannya dibina pada 1920-an dengan seni bina serta reka bentuk yang unik.

"Bandar Muar terkenal dengan keindahannya yang terletak di muara sungai. Oleh yang demikian kerajaan negeri amat menghargai pengisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja.

"Ini satu pengiktirafan bagi rakyat Muar yang memang terkenal sebagai Bandar Maharani. Hari ini Tuanku berkenan memberi pengiktirafan ia sebagai Bandar Diraja," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri 1433 Hijrah di Masjid Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, langkah awal perlu dilakukan bagi merealisasikan Bandar Diraja dengan menjunjung titah baginda supaya menjaga kebersihan bandar tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, perkara itu harus menjadi keutamaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), parti politik dan rakyat Muar, Bakri dan Pagoh perlu berganding bahu bagi menjalankan tanggungjawab itu secara bersama.

"Tanah rizab Melayu dan milik kerajaan termasuk kawasan Tanjung Emas harus dikekalkan tanpa pembangunan seperti yang dititahkan baginda sebelum ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment